Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak motif kejadian culik dan bunuh seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemukan di kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya pada 27 Jun lepas adalah disebabkan masalah hutang dan perniagaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata sehingga kini polis telah menahan 11 lelaki termasuk seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan menurut Seksyen 3(3) Akta Culik dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata perintah reman terhadap kesemua suspek yang berakhir semalam dan hari ini masing-masing bersambung hingga 6 dan 9 Julai ini.

“Sama ada terdapat suspek atau individu lain yang perlu ditangkap atau dikesan bergantung pada hasil siasatan yang sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Huzir berkata pihaknya masih belum menerima laporan bedah siasat mangsa kerana proses bedah siasat tersebut masih belum selesai.

Penemuan mayat ahli perniagaan berusia 55 tahun itu adalah susulan penangkapan beberapa suspek pada 26 Jun di sekitar Selangor.

Siasatan polis mendapati seorang daripada suspek telah membuat panggilan dan meminta wang tebusan S$50 juta daripada keluarga mangsa namun tiada pembayaran dibuat.

Mangsa dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10.30 pagi, 10 Jun lepas.- BERNAMA