Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap akan menamatkan kes baharu aktif Covid-19 melibatkan Kluster Tabligh Sri Petaling dalam tempoh 14 hari lagi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia dapat dicapai sekiranya kerajaan dan rakyat dapat bekerjasama untuk membendung penularan Covid-19 tersebut di dalam negara.

Katanya, kejayaan terbaharu KKM mengurangkan kes aktif Kluster Sri Petaling kepada hanya satu kes sahaja hari ini merupakan hasil pengemblengan tenaga dan usahasama jitu kerajaan dan agensi-agensi lain.

“Kita dengan kerjasama agensi-agensi lain melaksanakan tindakan mengesan mereka dan apabila mengesan kita melaksanakan ujian saringan dan sebagainya termasuk kerjasama jemaah tabligh yang baik dengan tampil ke hadapan melaksanakan saringan membantu mencegah kes.

“Kalau kita lihat ada 34 kematian direkodkan melibatkan generasi tabligh. Harap dalam masa terdekat mungkin dalam tempoh seminggu dua lagi harap akan tamatkan pengawasan dan juga pemantauan kluster Covid-19 dalam kalangan perhimpunan Masjid Sri Petaling,” katanya dalam sidang media  hari ini.

Beliau juga mengulas dalam tempoh empat bulan lalu, KKM dikejutkan dengan kluster perhimpunan Sri Petaling yang mana hanya dimaklumkan kepada mereka sehari selepas perhimpunan itu yang berlangsung antara 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Katanya, setelah dimaklumkan mengenainya pada 9 Mac lalu, kebanyakan daripada mereka telah pulang ke kampung atau negara masing-masing.

“Jadi, ketika itu hasil siasatan dimaklumkan seramai 16,000 jemaah tabligh telah berkumpul pada masa itu iaitu 1,500 daripadanya adalah dari luar negara.

“Jadi kita bertindak secara bersepadu melibatkan semua pihak yang akhirnya berjaya mengesan dan mengawal penularan dalam kalangan jemaah tabligh,” tegas beliau.- MalaysiaGazette