Kebanyakan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam. 
Kerajaan akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula,
KUANTAN – Kementerian Kewangan, melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menjelaskan RM1.264 bilion pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tertangguh bermula 22 Jun sehingga 2 Julai lepas.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, bayaran itu dibuat kepada 4,316 syarikat yang memenuhi kriteria tuntutan yang ditetapkan.

“Mana-mana syarikat yang masih belum memperoleh bayaran balik GST, semakan untuk mengesahkan status tuntutan boleh dibuat dengan kaedah yang ditetapkan.

“JKDM berharap isu pembayar balik GST ini seperti yang diumumkan Kementerian Kewangan, selesai menjelang 31 Dis ini. Peruntukan bagi tujuan itu ada dan kita sedia untuk bayar sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkara berkenaan di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JKDM Pahang Maimon Zaid.

Pada 15 Jun, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementeriannya menerusi JKDM komited untuk memastikan pembayaran balik GST yang tertangguh dapat dibuat dalam masa terdekat.

Tengku Zafrul berkata ia dilakukan dengan kaedah ‘bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih’ berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dan juga kriteria tertentu.

Abdul Latif juga berkata inisiatif bayaran balik ini dilaksanakan selaras dengan langkah pemulihan ekonomi di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kerana keprihatinan kerajaan terhadap syarikat terutama melibatkan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Bagi syarikat yang belum menerima bayaran balik GST, Abdul Latif berkata semakan untuk mengesahkan status tuntutan boleh dibuat dengan empat cara iaitu mengakses akaun syarikat menerusi Taxpayer Access Point (TAP) MyGST atau menghantar e-mel maklumat tuntutan ke [email protected].

“Semakan juga boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan Kastam di nombor 1-300-88-8500 atau e-mel [email protected]; atau merujuk Stesen JKDM di Bahagian atau Cawangan Cukai Dalam Negeri yang terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette