Muhammad Khair Noor Hisham.

KUALA LUMPUR – Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengklu Abdul Aziz telah mengumumkan tiga orang siswazah telah dipilih bagi menyertai program Felo Perdana sebagai peserta bagi tahun 2020.

Apa yang mencuri perhatian, salah seorang daripada mereka merupakan anak kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah iaitu Muhammad Khair.

Pada April lalu, Noor Hisham dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis COVID-19.

Menurut laporan CGTN, Dr Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang coronavirus, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka dipuji kerana sejak beberapa minggu lalu mengenengahkan penampilan yang ‘tenang, jelas dan meyakinkan’ bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pendemik ini.

Sementara itu anak beliau, Muhammad Khair pula merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Jurusan Ekonomi Bisnes dari Universiti Sheffield Hallam.

Bagaimana pemilihan Khair itu pada mulanya cuba dipersoalkan oleh netizen namun melihat pencapaian anak muda ini, ramai yang mengagumi pencapaiannya.

Sepanjang bergelar mahasiswa, beliau mendapat pelbagai anugerah akademik yang telah diraihnya antaranya ialah memenangi dalam Sheffield Business School International Dragon’s Den Competetition pada tahun 2019.

Anak Noor Hisham ini juga pernah mendapat anugerah sebagai pelajar terbaik iaitu menjadi ketua kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar di UITM Pahang pada tahun 2018.

Muhammad Khair juga merupakan seorang pelajar yang sangat aktif sepanjang bergelar siswazah dan beliau pernah menjadi pengarah bagi Program Kepimpinan dan Hubungan Budaya iaitu program bersama antarabangsa.

Jadi selepas melihat kepada semua pencapaian yang diperolehinya ini pasti jawatan itu sangat layak buat beliau.

Malah ramai yang memujinya di media sosial kerana dia layak dan diharap bakal mengikuti jejak langkah bapanya.

Sementara itu, program Felo Perdana merupaka inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang membolehkan peserta mengalami sendiri bagaimana jentera pentadbiran kerajaan menggubal dasar baharu dan membuat keputusan pentadbiran yang memberi kesan kepada rakyat, sekali gus menjadi perantaraan untuk menjelaskan prosedur itu kepada umum, khususnya generasi muda.

Program Felo Perdana tahun ini membabitkan 82 orang belia dengan 58 daripadanya adalah siswazah dan 24 siswa.

Kira-kira 42 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta adalah daripada latar belakang keluarga B40.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selari dengan situasi pasca pandemik COVID-19, keutamaan penyertaan peserta untuk program Felo Perdana tahun ini adalah terdiri daripada kalangan siswazah berbanding siswa, dengan peratusannya adalah 70 peratus siswazah dan 30 peratus lagi adalah siswa.

“Saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada semua peserta Felo. Saudara dan saudari semua adalah anak muda yang terpilih daripada 637 orang yang telah memohon untuk menyertai program ini serta 298 orang yang memohon Felo Korporat,” katanya pada majlis penyerahan peserta Felo Perdana kepada ahli jemaah menteri bagi tahun ini, di sini kelmarin.

Muhyiddin berkata peserta Felo Perdana juga adalah jurucakap tidak rasmi kerajaan. – MalaysiaGazette