LONDON – Aksi timbal balik pusingan ke-16 Liga Juara-Juara Eropah antara Manchester City dan Real Madrid akan berlangsung di Stadium Etihad, Manchester.
Badan Pemantau Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) mengesahkan kesemua aksi timbal balik yang telah tertangguh dalam Liga Juara-Juara dan Liga Europa akan di dilangsungkan di stadium pasukan tuan rumah secara tertutup.
Skuad Pep Guardiola akan menerima kunjungan pasukan gergasi La Liga Sepanyol kendalian Zinedine Zidane pada 7 atau 8 Ogos ini manakala Chelsea akan bertandang ke Jerman untuk berdepan Bayern Munich.
Dalam aksi Liga Europa pula, Wolverhampton Wonderers akan menerima lawatan Olympiakos.
Manchester United pula akan bertemu LASK di Old Trafford pada 5 dan 6 Ogos ini.
Pandemik Covid memaksa kebanyakan pusingan ke-16 melibatkan kedua-dua liga berprestij Eropah itu digantung.
Dalam aksi pertama pusingan ke-16, Man City menewaskan Real 2-1 di Santiago Bernabeu manakala Chelsea kecundang 3-0 kepada Bayern di Stamford Bridge.
Skuad the Red Devils kendalian Ole Gunnar Solskjaer pula menjinakkan LASK 5-0 pada awal Mac lalu.-MalaysiaGazette