Nasib Man City sama ada akan beraksi dalam Liga Juara Juara Eopah musim depan akan diketahui Isnin ini dalam keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan di Switzerland.

LONDON – Nasib Manchester City sama ada dilarang atau tidak beraksi selepas digantung selama dua tahun oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) akan diketahui Isnin ini.

Ini kerana Mahkamah Timbag Tara Sukan (CAS) di Switzerland bakal memutuskan sama ada kelab Inggeris itu menang atau gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan keputusan penggantungan daripada segala aktiviti bola sepak dan kejohanan Eropah oleh UEFA.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola merayu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA (CFCB) mengumumkan hukuman penggantungan itu pada Februari lalu terhadap kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Menurut siasatan dan dapatan CFCB, Man City disahkan terlibat dalam perlanggaran serius Peraturan Keadilan Kewangan (FFP) antara 2012 hingga 2016.

Man City juga didenda 30 juta Euro atau 25 juta Pound.

Bagaimanapun Man City yang menganggap keputusan itu tidak adil kemudian mengemukakan rayuan kepada CAS.

Mereka percaya CFCB tidak bertindak adil, bebas, neutral dan tampil dengan keputusan yang tidak adil.

Man City bagaimanapun percaya CAS dapat mengadili dan membersihkan segala tuduhan perlanggaran peraturan FFP tersebut.

“Kami sudah bersedia menerima apa jua keputusan dari CAS. Saya berkeyakinan tinggi dan percaya dengan panel kehakiman CAS bahawa kami akan dibenarkan beraksi dalam kempen Liga Juara Juara Eropah nanti,” kata Guardiola.

Rayuan Man City telah didengar oleh panel tiga hakim selama tiga hari pada Jun lalu menerusi persidangan video secara tertutup di Switzerland.

Sekiranya keputusan tidak memihak kepada Manchester City, mereka tidak boleh beraksi dalam semua kejohanan antarabangsa Eropah musim depan dan akan dinafikan beraksi dalam Piala Super UEFA.

Malah sekiranya penggantungan UEFA dikekalkan CAS, maka Man City akan tersingkir dan kelab yang menamatkan saingan EPL di tempat kelima akan mengisi kekosongan tersebut beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim 2020/2021 nanti.

Manchester United dan Leicester City yang masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima berebut slot ke kempen Liga Juara-Juara Eropah musim 2020/2021.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast