KUALA LUMPUR – Nilai pembangunan kasar (GDV) Pasar Keramat baharu akan menelan kos lebih RM400 juta, termasuk nilai tanah sebanyak RM65 juta, kata Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, pembangunan pasar tersebut dijangka siap sepenuhnya antara tujuh hingga 10 setahun.
Jelas beliau, ini kerana ia akan melibatkan kerja-kerja secara peringkat seperti perpindahan penjaja dan pembinaan pasar sementara.
“Kerja-kerja pembangunan ini akan dimulakan secepat mungkin dan sepatutnya sudah pun bermula. Malah pemaju sudah dipilih.
“Pembangunan pasar ini akan melibatkan fasa pertama selama tiga tahun dan dijangka siap sepenuh antara tujuh hingga 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program turun padang melawat Pasar Keramat di sini hari ini.
Annuar menambah, apa jua yang melibatkan pembangunan pasar itu, pandangan oleh golongan penjaja telah diambil kira.
Tambah beliau, pihaknya sentiasa membuat rundingan kerana perjanjian di atas kertas tidak sama dengan projek fizikal.
“Saya berharap pasar baharu nanti akan lebih memberi keselesaan kepada penjaja dan pengunjung.
“Pada masa sama, ia diharap dapat memberi rezeki yang lebih kepada golongan peniaga,” katanya.
Beroperasi hampir 40 tahun, Pasar Keramat yang menempat 333 peniaga bukan asing kepada masyarakat di Kuala Lumpur.
Walaupun dikelilingi bangunan pencakar langit serta pesat dibangunkan, pasar basah itu ada keistimewaan tersendiri yang memikat hati pelanggan terutama gerai makanan pada waktu pagi. – MalaysiaGazette