SIBU – Seorang pekerja warga Filipina maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh sedalam kira-kira 3.05 meter, ketika membuat kerja-kerja kimpalan paip di Loji Rawatan Air Jalan Nyabau, Bintulu, kira-kira 216km dari sini petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak berkata, jentera pengaut terpaksa digunakan untuk mengeluarkan mayat Perez Antonio Secuya, 41, dari timbunan tanah itu kira-kira pukul 4.33 petang.

“Mayat telah diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang turut berada dilokasi. Pekerja itu disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM pada pukul 4.40 petang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, tujuh petugas Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bergegas ke tempat kejadian selepas pihak bomba menerima laporan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 3.00 petang.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa pekerja itu sedang membuat kerja-kerja kimpalan pada paip yang berdiameter 1.2 meter apabila tanah tempat dia bekerja tiba-tiba runtuh dan menimbusnya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast