Peguam bagi Najib Razak, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah bercakap pada Townhall Mencari Kebenaran di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 1 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR –  Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa kerajaan melalui agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebenarnya tidak berminat untuk mencari keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Beliau berkata, ini kerana sekiranya Jho Low dibawa pulang ke Malaysia, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan dilepaskan dalam kes pendakwaan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dijalankan ketika ini.

Menurutnya, semuanya akan terbongkar di mahkamah kerana Jho Low adalah pelakunya dalam kes tersebut.

“PDRM, MACC dan Kerajaan Malaysia tidak berminat dengan Jho Low kerana jika dia ditangkap dan dibawa masuk ke Malaysia, Datuk Seri Najib akan dilepaskan sebab kita akan tahu siapa pelakunya.

“Awak pegang kata saya, lepas Datuk Seri Najib habis kes beliau, tiba-tiba Jho Low akan menjelma,” katanya.

Muhammad Shafee yang juga peguam utama Najib berkata demikian kepada media selepas menghadiri Townhall Rakyat Mencari Kebenaran, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Muhammad Shafee mendakwa beliau percaya Jho Low kini bersembunyi di Myanmar yang bergolak.

Beliau menyimpulkan perkara itu berdasarkan soal balasnya terhadap bekas penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan yang pernah dianggap sebagai proksi Jho Low.

Peguam bagi Najib Razak, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah bercakap pada Townhall Mencari Kebenaran di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 1 DISEMBER 2024.

Namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam maklum balasnya, berkata, PDRM tidak mempunyai sebarang maklumat tentang keberadaan Jho Low yang didakwa kini bersembunyi di Myanmar.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman daripada pihak berkuasa negara itu mengenai keberadaan Jho Low di negara mereka.

Razarudin berkata, pihak Myanmar sudah pasti akan memaklumkan dan berkongsi kepada PDRM tentang keberadaan Jho Low memandangkan Myanmar juga berada dalam Polis ASEAN (ASEANAPOL) jika dakwaan itu sahih.

Ditanya sama ada dia akan membuat laporan rasmi mengenai keberadaan Jho Low di Myanmar, Muhammad Shafee menegaskan, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Tidak perlu kerana IGP (Ketua Polis Negara) dulu, Tan Sri Hamid Bador kata, beri dia dua minggu bawa Jho Low balik dan tiada apa-apa sampai sekarang. Banyak sangat propaganda,” katanya.

Bermula esok, Najib akan mengemukakan keterangan setebal 525 muka surat ketika membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan itu dijangka menjawab semua tuduhan berkenaan pada prosiding bela diri kes penyelewangan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini

Najib memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi dan boleh disoal balas oleh pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang mengesahkan kepada kepada pihak media berkata, pasukan peguam bela Najib diketuai Muhammad Shafee sudah mengemukakan salinan dokumen itu melalui e-mel kepada pihak pendakwaan, Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.