Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi (tiga kiri) bersalaman norma baharu dengan tetamu yang hadir pada Majlis Amanat Bersama Warga KPDNHEP Tahun 2020 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – peningkatan jualan perdagangan borong dan runcit sebanyak 26.3 peratus pada Mei lalu merupakan petanda baik untuk ekonomi negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alaxender Nanta Linggi berkata, kerjasama semua pihak adalah penting bagi membantu pemulihan ekonomi negara dalam tempoh pasca Covid-19.

“Ini hanyalah petunjuk awal yang positif ekonomi negara dapat dipulihkan, sekiranya semua pihak bekerjasama demi kebaikan semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Menyampaikan Amanat Kepada Warga Kerja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, perdagangan borong dan runcit merekodkan jualan sebanyak RM84.4 bilion.

Ia meningkat RM17.5 bilion atau 26.3 peratus pada Mei 2020 berbanding bulan sebelumnya, berikutan pembukaan semula hampir kesemua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan bermula 4 Mei, 2020 di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selaku salah satu kementerian yang berperanan membantu merangsang ekonomi negara, Alaxender berkata, pihaknya perlu meluaskan tumpuan daripada tugas hakiki iaitu memantau kenaikan harga barang dan memastikan keperluan asas sentiasa mencukupi.

Menurutnya, kementerian tersebut perlu mencari peluang untuk meningkatkan prestasi perniagaan dalam negara.

“Oleh kerana tanggungjawab utama KPDNHEP dari segi perkasakan pengguna, kita juga melihat bagaimana kita boleh pastikan perniagaan dalam negara agar sentiasa berkembang. Kita seharusnya juga ada perkembangan dan membangunkan ekonomi,” tambah Alaxender.

Justeru beliau berpendapat KPDNHEP perlu memperbaiki proses-proses kementerian dan agensi yang berkaitan berhubung aktiviti perniagaan selain mengurangkan birokrasi atau peraturan yang menyusahkan.

Jelasnya, ini bagi memudahkan aktiviti perniagaan dalam negara, sekaligus akan dapat membantu perkembangan ekonomi yang tidai dinafikan terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa impak wabak Covid-19 telah memberi kesan memudaratkan kepada ekonomi. Oleh itu, KPDNHEP dan agensi mempunyai tanggungjawab besar untuk membangunkan ekonomi negara.

“Kita harus memperbaiki proses-proses Kementerian dan agensi berhubung dengan aktiviti perniagaan dan mengurangkan red tape bagi tujuan mengutamakan ‘Ease of doing Business’ di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Alaxender memberi jaminan tidak akan mengenepikan masalah yang dihadapi oleh pemain industri.

“Saya ingin menekankan bahawa saya dan kementerian ini selalu bersedia untuk mendengar cabaran yang dihadapi oleh pihak industri.

“Saya akan mencuba sedaya upaya untuk menangani masalah mereka, demi kebaikan ekonomi negara,” tambahnya.-MalaysiaGazette