Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi (tengah) menyaksikan Pengarah Pembangunan Perniagaan MBOR, Jwan Heah (dua kanan) menyampaikan sijil ‘The Malaysia Book Of Records’ kepada Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Nor Azimah Abd Aziz (dua kiri) diiringi Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid (kiri) pada Majlis Amanat Bersama Warga KPDNHEP Tahun 2020 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBR) sebagai agensi pertama mencipta rekod pendaftaran perniagaan terbanyak di negara ini menerusi program #JOMDAFTARSSM2020.

Program khas yang diadakan pada 20 Febuari yang lalu itu menerima 2,705 pendaftaran perniagaan baru dalam tempoh  sehari.

Sambil mengucapkan tahniah, pencapaian ini disifatkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alaxender Nanta Linggi sebagai membanggakan selain membuktikan kesedaran terhadap pentingnya pendaftaran perniagaan semakin meningkat di kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Program ini merupakan usaha SSM untuk mendaftarkan lebih ramai usahawan baharu dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Program ini merupakan usaha untuk memupuk kesedaran kepada orang ramai berkenaan kepentingan mendaftar perniagaan di sisi undang-undang memandangkan pemilikan perniagaan yang sah akan membolehkan PKS menikmati manfaat dalam transaksi perniagaan serta pelbagai pelbagai insentif yang ditawarkan oleh kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat yang disampaikannya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya sedang menjalankan Kajian Pendayaupayaan Pengguna Malaysia Tahun 2019-2020.

Kajian itu, ujarnya, bagi menjelaskan tahap atau kadar pendayaupayaan penduduk di Malaysia terhadap hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Kajian yang dijangka Alaxender akan selesai pada Oktober 2020, akan melibatkan 12,300 responden di seluruh negara. -MalaysiaGazette