Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara mulai semalam diarah menjalani proses kuarantin wajib di Stesen Kuarantin ditetapkan kerajaan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kesemua 96 warganegara Malaysia yang telah dibawa pulang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Membawa Rakyat Malaysia Pulang dari New Delhi, India, awal pagi ini dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 72 adalah lelaki dan 24 perempuan dan empat kanak-kanak.

“Ini susulan saringan kesihatan oleh petugas kesihatan yang bertugas di Pintu Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Swab sampel Nasopharyngeal telah diambil di Pintu Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA untuk ujian makmal pengesanan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada pagi ini, seramai 96 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat Covid-19 selamat tiba di KLIA dan daripada jumlah itu seramai 62 orang adalah jemaah tabligh manakala 34 orang lagi adalah gabungan kakitangan kedutaan Malaysia.

Dalam perkembagan sama, tambah beliau, seramai 88 warganegara itu yang merupakan ahli keluarga petugas kedutaan telah menjalankan ujian sebelum berlepas di India dan didapati negatif Covid-19.

“Semua mereka ditempatkan dalam pusat pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Enstek, Nilai untuk tempoh selama 14 hari.

“Kuarantin mandatori selama 14 hari ini dijalankan di pusat pemantauan yang ditetapkan, dan bukan sebagai Home Surveilance Order.

“Ia mengambil kira kumpulan ini telah kembali dari negara yang berisiko tinggi dengan jangkitan Pandemik COVID-19,” katanya.

Katanya, pemantauan kesihatan juga dilakukan oleh petugas-petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Seremban, Negeri Sembilan terhadap kesemua warganegara Malaysia ini.

“Saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau aspek kesihatan mereka dan memaklumkan umum dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette