Sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di India sejak Januari 2020 lalu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibawa menaiki bas untuk dihantar ke pusat kuarantin AKEPT dan ILKAP bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar akan terus menyelaraskan usaha membawa pulang secara berperingkat baki jemaah tabligh warga Malaysia yang masih terkandas di India.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau faham ramai yang ingin tahu perkembangan dan kesudahan isu jemaah jemaah tabligh warga Malaysia yang ditahan di India sejak ia tular.

Namun katanya, rakyat Malaysia perlu faham bahawa mereka telah melanggar undang-undang India.

“Kerajaan Malaysia berdepan beberapa kekangan dalam usaha menyelesaikan proses diplomasi dan rundingan.

“Bagaimanapun, kita bersyukur kerana berkat doa, kesabaran dan kepercayaan seluruh rakyat Malaysia, isu ini dapat diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada pagi ini, seramai 96 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat Covid-19 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan daripada jumlah itu seramai 62 orang adalah jemaah tabligh manakala 34 orang lagi adalah gabungan kakitangan kedutaan Malaysia.

Sebelum ini, media dimaklumkan penerbangan tersebut membawa seramai 127 jemaah tabligh dan 40 orang awam warga negara Malaysia.

Menurut Hishammuddin, jemaah tabligh itu ditahan oleh pihak berkuasa India atas tuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

“Bagaimanapun, sebahagian besar telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut,” jelasnya sambil mengucapkan penghargaan kepada kerajaan India yang telah memberi kerjasama bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas.

Hishammuddin berkata, sepanjang menyelesaikan isu ini, kerajaan Malaysia berusaha sedaya upaya memberikan bantuan konsular demi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.

Ia termasuk menghulurkan bantuan dari segi makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas harian, katanya.

Selain itu, tambah beliau, perwakilan Malaysia  di India juga telah mendapatkan khidmat guaman bagi membela mereka dengan sebaiknya serta menyediakan penginapan bersesuaian. – MalaysiaGazette

96 rakyat Malaysia terkandas di India tiba di KLIA