Seramai 2,897 orang pengembara yang diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah masih belum tampil ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapat pelepasan.- Gambar hiasan.

SEPANG – Seramai 96 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India akibat Covid-19 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Mereka tiba pukul 6.31 pagi dengan menaiki pesawat Malindo Air dari New Delhi.

Pesawat berkenaan yang membawa seramai 107 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Indira Gandhi pukul 4.20 petang semalam.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata, daripada jumlah tersebut, 62 orang adalah jemaah tabligh manakala, 34 orang lagi adalah gabungan kakitangan kedutaan Malaysia dan 11 lagi merupakan krew penerbangan.

Katanya, kesemua penumpang telah melepasi tapisan kesihatan yang dibuat oleh kerajaan India sebelum mereka dibenarkan menaiki pesawat.

“Alhamdulillah, kita diberitahu mereka ini tidak bergejala ketika menjalani saringan sebelum menaiki penerbangan di India.

“Bagaimanapun, mereka ini perlu menjalani saringan kesihatan sama seperti ketibaan antarabangsa yang lain,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Menurut Mohtar, mereka juga perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat pemantauan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek dan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (IKKAP) di Bandar Baru Bangi.

Terdahulu, media dimaklumkan penerbangan tersebut membawa seramai 127 jemaah tabligh dan 40 orang awam warga negara Malaysia.

Bagaimanapun, maklumat terbaru yang diterima daripada NADMA jumlah rakyat Malaysia yang dibawa pulang hari ini hanya 96 orang sahaja.

Dalam pada itu, Mohtar menambah, misi membawa pulang rakyat Malaysia itu merupakan kali kelima setelah kejayaan membawa rakyat Malaysa balik dari Wuhan, China, Itali dan Iran sebelum ini.

Katanya, kejayaan misi tersebut adalah hasil daripada kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Imigresen, AKEPT dan ILKAP.

Tambahnya, hubungan baik dan kerjasama yang erat antara kerajaan Malaysia dan India juga menjadi penyumbang utama kepada kejayaan kali ini.

“Sudah pasti ianya telah menggambarkan hubungan persahabatan yang kukuh antara kedua-dua buah negara,” katanya. – MalaysiaGazette