Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perilaku tidak berperikemanusiaan seorang bapa yang mendera anak kandung sendiri sejak empat tahun lalu hanya disebabkan tindakan keluar mencari ibunya yang berpisah lebih 10 tahun lalu akibat masalah rumah tangga berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis telah menerima laporan polis pada 17 Julai lalu sekitar jam 6.18 petang mengenai kejadian yang berlaku di Sungai Jelok, Kajang.

“Kami terima aduan berkenaan berkaitan kes seorang kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun yang masih belajar telah didera oleh bapa kandungnya.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 4 Julai lalu yang mana mangsa memberitahu semasa berada di rumahnya telah dicederakan oleh bapanya (suspek) dengan menggunakan rotan di kaki dan dicucuh dengan colok yang masih berbakar pada bahagian kaki termasuk bahagian tapak kaki kerana mangsa keluar rumah pada 2 Julai lalu.

“Siasatan terperinci polis juga mendapati nenek mangsa yang tinggal bersamanya dan suspek, telah membawa mangsa perempuan itu untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau dalam kes berkaitan, mangsa turut mengadu dia telah dicederakan bapanya semenjak menuntut di Tingkatan 1 iaitu dari berusia 13 tahun lagi sehingga kini.

Mangsa juga mendedahkan suspek memukulnya dengan menggunakan rotan akibat keluar dari rumah kerana suspek mengesyaki anaknya itu mencari ibunya.

“Polis mendapati mangsa cuba keluar cari ibunya yang telah berpisah semenjak tahun 2009 dan ekoran penderaan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kiri kanan dan kiri serta tapak kaki.

“Pada hari laporan dibuat, mangsa keluar dari rumah dan berjumpa dengan rakannya serta mengadu telah dicederakan oleh suspek (bapa kandung) sebelum rakan berkenaan telah membawa mangsa ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan polis,’ ujar beliau.

Bertindak atas laporan itu, katanya Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah melakukan tangkapan ke atas suspek berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.

“Suspek kini direman tiga hari untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” tegas beliau. – MalaysiaGazette