SINGAPURA – Golongan minoriti di Singapura akan tetap mempunyai wakil dalam Parlimen Singapura ke-14, selepas pilihan raya umum yang diadakan pada 10 Julai.

27 Ahli Parlimen daripada kumpulan ini, akan menduduki kerusi Parlimen atau 29 peratus daripada keseluruhan 93 kerusi, lebih tinggi sedikit daripada komposisi 26 peratus penduduk, populasi rakyat republik tersebut.

Kumpulan minoriti utama di Singapura adalah Melayu, India, Eurasians dan lain-lain. Cina adalah majoriti rakyat negara itu.

12 daripada 14 calon Melayu mewakili Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang telah memegang tampuk kuasa sejak kemerdekaan 1965, berjaya melepasi pilihan raya umum yang agak tegang, bersama 11 lagi rakan separti dari kumpulan minoriti lain.

Empat lagi wakil adalah daripada Parti ‘Pekerja’ yang antaranya setiausaha agung parti itu Pritam Singh, selain muka baru dan Ahli Parlimen termuda Raeesah Begum Farid Khan, 26.

Murali Pillai dari PAP pula merupakan satu-satunya bagi kawasan SMC (kawasan pilihan raya perwakilan tunggal). Beliau menang kerusi Bukit Batok, mengalahkan Dr Chee Soon Juan, Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura.

Ahli Parlimen minoriti yang lain datang dari 17 kerusi GRC (kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan).

Singapura memperkenalkan sistem GRC pada 1988 bagi memastikan komuniti minoriti akan sentiasa diwakili di Parlimen.

Sekurang-kurannya seoraang calon untuk satu GRC, mesti mewakili satu komuniti minoriti.

PAP telah meletakkan enam muka baru calon Melayu dalam pilihan raya kali ini, bertanding bersama enam lagi calon ahli politik melayu berpengalaman. Kesemua muka baru tersebut, menang di kawasan masing-masing.

Antara yang paling berpengalaman, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air dalam kerajaan sebelum ini, mengetuai kumpulannya untuk menang di GRC Tampines, menerima 66.41 peratus undi, mengalahkan Parti Perpaduan Nasional.

Bekas Menteri Kanan Negara dalam Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Dr Mohd Maliki Osman, menerima 53.41 peratus undi untuk memenangi GRC East Coast, satu kawasan GRC paling panas dipertandingkan pada pilihan raya kali ini.

Beliau berada dalam kumpulan diketuai Timbalan Setiausaha Pertama PAP Heng Swee Keat, yang dikatakan bakal menjadi perdana menteri selepas Lee Hsien Loong melepaskan jawatannya.

Pada GRC East Coast, PAP berhadapan dengan wakil dari kumpulan Parti Pekerja yang dianggotai Nicole Seah, yang dianggap sebagai calon kesukaan pihak pembangkang.

Antara empat lagi calon berpengalaman Melayu yang menang adalah Zaqy Mohamad yang bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee, kerusi yang ditandingi Presiden Singapura Halimah Yacob pada pilihan raya 2015.

Dua calon berpengalaman yang kalah, iaitu Amrin Amin, bekas Setiausaha Parlimen Kanan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kesihatan yang bertanding di GRC baru, Sengkang; dan Shamsul Kamar Mohamed Razali di GRC Aljunied.

Ini merupakan cubaan kedua Shamsul Kamar bersama kumpulan PAP untuk memenangi semula GRC Aljunied yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya 2011.

Calon paling muda dalam kalangan enam calon muka baru, Nadia Ahmad Samdin, 30, berada di dalam kumpulan Hsien Loong yang mempertahankan GRC Ang Mo Kio, satu daripada dua GRC yang mendapat lebih daripada 70 peratus undi.

Satu lagi GRC merupakan Jurong, yang mendapat 74.62 peratus undi. Kumpulan lima ahli PAP itu, diketuai bekas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam. Pasukan itu turut diwakili Rahayu Mahzam. – MalaysiaGazette