Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerima bendera dari Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim sebagai simbolik penyerahan Jalur Gemilang ketika hadir ke program Merdeka Community Bonding di perumahan penjawat awam Fasa 14-7, Presint 14, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 19 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia tidak kira kaum, bangsa dan agama diingatkan agar sentiasa melindungi maruah Jalur Gemilang.

Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sudah menjadi tanggungjawab setiap warga negara memastikan Jalur Gemilang sentiasa disanjung.

Jalur Gemilang, tegas beliau bukannya untuk dipijak, dihina dengan memasangnya terbalik, mengubah warna asal dan sebagainya.

Katanya, Jalur Gemilang merupakan identiti rakyat Malaysia dalam setiap urusan harian termasuk ketika pergi berperang dan juga bersukan di pentas antarabangsa.

”Kenapa ini berlaku (insiden terbalikkan bendera, ubah warna), barang kali ada anak muda yang buat begini kerana mereka tidak faham nilai bendera serta ibu bapa tak didik anak bagaimana mereka datang di sini, berada di sini. Itu untuk bangsa lain.

“Orang Melayu pun kena cerita pada anak-anak mereka.

“Dalam tempoh 22 bulan lalu ada pihak sengaja menanamkan semangat kebencian dalam sesebuah kaum tertentu, situasi yang tidak pernah berlaku dalam negara kita selama 62 tahun kemerdekaan.

“Inilah masalah yang sedang dihadapi oleh kerajaan hari ini. Saya rayu jangan mempengaruhi perkara-perkara tidak baik kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas program Merdeka Community Bonding Semarakkan Patriotik Dalam Norma Baharu di Presint 14/7, pagi ini.

Program berkenaan adalah inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia dan Wilayah Persekutuan untuk menyemarakkan mengibarkan bendera sempena sambutan Kemerdekaan 31 Ogos ini.

Bagaimanapun beliau yakin Jabatan Penerangan akan cuba mengatasi masalah yang ditinggalkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini menerusi penerangan yang benar dan berfakta.

Beliau turut merayu semua pihak jangan sekali-kali menanam sesuatu yang tidak sihat dalam pemikiran rakyat.

Tengku Adnan yang sempat berkongsi pengalaman lawatan ke Banda Aceh, Indonesia semasa ambang sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia sebelum ini berkata, beliau terpegun dengan semangat patriotik rakyat negara itu.

Mereka begitu bersemangat mengibarkan bendera nasional mereka di setiap sudut kediaman, jalan, kampung, pekan dan bandar.

“Mereka begitu cinta dan sayang terhadap bendera kebangsaan dan mereka mengeluarkan wang sendiri untuk mengibarkan bendera.

“Betapa kuat semangat mereka terhadap bendera kebangsaan, kenapa rakyat di negara ini tidak menunjukkan semangat begitu hingga ada yang mengharapkan kerajaan untuk menghulurkan bendera.

“Jangan harapkan atau minta kerajaan, ambil inisiatif beli serta kibarkan Jalur Gemilang anda sendiri dan itulah semangat patriotik dan bukti kecintaan anda pada bendera kita,” tegasnya. – MalaysiaGazette