SHAH ALAM – UMNO Bahagian Shah Alam membuat laporan polis berhubung perbuatan vandalism pada lukisan mural di dinding sebuah bangunan di Taman Cahaya Alama, Seksyen U12, di sini, petang ini.
Laporan dibuat Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Azhari Shaari di Balai Polis Seksyen 6, dekat sini, kira-kira jam 3.30 petang untuk meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit.
Katanya, UMNO Bahagian itu dan rakyat Shah Alam mengecam sekeras-kerasnya perbuatan berkenaan yang dianggap biadab kerana merosakkan lukisan mural wajah pemimpin negara, termasuk Yang di-Pertuan Agong dengan kata-kata kesat.
“Petang ini kami buat laporan polis berhubung lukisan mural yang telah divandalismekan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Lukisan ini satu hasil usaha anak muda yang saya jumpa sendiri bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
“Saya bersimpati dengan kejadian ini kerana bukan mudah untuk tiga anak muda ini hendak menyiapkannya. Ia mengambil masa berminggu-minggu, terpaksa berjemur panas dan hujan untuk menyiap.
“Mereka lukis gambar pemimpin negara ini secara percuma dan sebagai mengenang jasa barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19, tetapi dimusnahkan dalam sekelip mata oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6, di sini, hari ini.
Menurut Azhari, beliau percaya kejadian itu berlaku sekitar tengah malam tadi, kerana pihaknya termasuk penduduk mengetahui lukisan itu diconteng pagi ini.
Katanya, beliau mahu polis mengambil tidakan ke atas mereka yang terbabit dan laporan akan dibuat lagi oleh sayap UMNO Bahagian itu petang ini.
“Taman Cahaya Alam adalah kawasan perumahan yang baharu dan ramai tidak tahu kewujudannya, tetapi dengan lukisan mural ini, kawasan ini mula dikenali di seluruh negara .
“Kenapalah dia orang dengki sangat. Mereka musnahkan hasil usaha tiga anak muda ini dalam sekelip mata dan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terpaksa memadamkan keseluruhan lukisan itu,” katanya.
Beliau juga tidak menolak ada unsur politik, yang mungkin tidak berpuas hati dengan pimpinan hari ini, tetapi kenapa lukisan itu menjadi mangsa. – MalaysiaGazette