logo 1mdb
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Usaha mendapatkan semula aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara berkesan tetap menjadi keutamaan Kerajaan Malaysia.

Dalam usaha menzahirkan objektif tersebut, kerajaan telah mengambil tindakan proaktif merentasi pelbagai negara dan organisasi.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, diketuai oleh Jabatan Peguam Negara, kerajaan juga sedang mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pelbagai organisasi antarabangsa, termasuk Goldman Sachs Group Inc.

Minggu ini, perwakilan kanan dari Goldman Sachs Group Inc. telah hadir ke Malaysia untuk meneruskan perbincangan dan rundingan dengan kerajaan.

”Kerajaan berharap perbincangan ini akan membuahkan hasil dan membolehkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenai pemulangan aset 1MDB kepada Malaysia.

”Yang lebih penting adalah komitmen penuh kerajaan untuk memastikan pemulangan aset 1MDB kepada Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul menambah, kerajaan berusaha mengambil pelbagai tindakan dan langkah untuk memastikan nilai pemulihan yang adil dan wajar bagi rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette