Pelatih Pemasaran Selcare, Siti Nursyawallina Mohamad menonton perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi siaran langsung portal online Malaysia Gazette di Selcare Clinics Sdn Bhd, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 20 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Negara berdepan dengan impak ekonomi yang besar jika penularan Covid-19 tidak dapat dikawal hingga menyebabkan kerajaan perlu menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelaksanaan semula PKP bukan sahaja akan menyebabkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 tidak akan dicapai, malah perniagaan terpaksa ditutup semula.

Rentetan itu akan mendorong kadar pengangguran meningkat secara mendadak berbanding 5.3% pada bulan Mei lalu.

”Ini adalah suatu keadaan yang mesti kita elakkan,” tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan perutusan khas di sini hari ini.

Beliau berkata, cukuplah tiga bulan kita semua ‘berkurung’ di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 hingga ekonomi negara kita terjejas teruk.

Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam keadaan lock down seperti itu lagi, ujarnya.

Menurut Muhyiddin, penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.

Ia juga akan menidakkan usaha-usaha kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan di bawah Pakej Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang keseluruhannya berjumlah RM295 juta untuk memulih dan menjana semula ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

Muhyiddin sekali lagi menegaskan, Malaysia belum bebas daripada pandemik wabak itu dan kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi.

Sehingga semalam, hampir 14.5 juta orang telah dijangkiti virus Covid-19 di seluruh dunia dengan lebih 600,000 kematian.

Tambahnya, walaupun kes Covid-19 kekal rendah di negara ini namun beliau bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh PKPP.

Contohnya Kluster Restoran Kuala Lumpur dalam kalangan pekerja restoran yang dilaporkan sejak 6 Julai 2020 dan Kluster Stutong yang bermula sejak 18 Julai lalu.

Selain itu, sejak 7 Julai lalu, terdapat empat kluster baharu yang dikesan berpunca dari mereka yang pulang dari luar negara iaitu Kluster di Sarawak sebanyak 3 kes, Kluster di Melaka 5 kes, Kluster di Terengganu 3 kes dan Kluster di Kuala Lumpur 2 kes.

”Lebih membimbangkan saya, kes positif Covid-19 telah kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari yang lalu,” katanya.

Oleh itu, situasi ini tidak boleh diambil mudah kerana beliau pasti kerajaan akan melaksanakan semula PKP sekiranya kes-kes pandemik ini meningkat dengan mendadak. – MalaysiaGazette