SHAH ALAM – Peniaga dan penduduk Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, dekat sini, mengutuk perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu merosakkan lukisan mural, yang menjadi identiti dan mercu tanda taman berkenaan kepada rakyat di seluruh negara.
Wakil Persatuan Peniaga Taman Cahaya Alam, Datuk Shahruddin Ahmad berkata, sejak lukisan mural itu siap, orang ramai dari luar kawasan itu datang ke taman berkenaan untuk bergambar dan sekali gus memberi sumber rezeki kepada peniaga kecil.
“Sejujurnya kami penduduk dan peniaga di sini rasa bangga dengan kehadiran tiga anak muda tempatan menghasilkan lukisan mural yang sangat hebat ini.
“Mereka melukis gambar pemimpin semata-mata untuk menghargai barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19 yang melanda negara dan dunia khususnya.
“Sejak lukis mural ini terhasil, ramai masyarakat datang bergambar dan menunjukkan penghargaan mereka kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersama Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari membuat laporan di Balai Polis Seksyen 6, di sini, hari ini.
Menurut Shahruddin, penduduk di situ juga berasa teruja apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli ke taman itu untuk bergambar dan beramah mesra dengan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, peniaga dan penduduk di situ terkejut apabila menyedari berlaku vandalisme oleh pihak tidak bertanggungjawab menconteng dengan perkataan kesat serta memalukan.
Amat menyedihkan, kata beliau, keseluruhan lukisan itu terpaksa dipadamkan bagi mengelakkan berlaku fitnah oleh pihak tertentu.
“Perbuatan biadab ini menyebabkan lukisan mural itu terpaksa dipadam, dan kita akur.
“Saya bagi pihak usahawan dan penduduk Taman Cahaya Alam akan duduk semeja dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mencari kaedah terbaik bagaimana hendak memperkasakan di kawasan ini selepas lukisan mural yang menjadi mercu tanda kami sudah dirosakkan,” katanya.
Kata Shahruddin, baharu semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob datang ke kawasan itu bersantai dengan penduduk, termasuk solat berjemaah di surau.
“Apabila Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong datang, pemimpin kanan datang, ia memberi banyak kesan positif kepada kawasan ini, hasil daripada lukisan mural ini.
“Justeru, kami bersedia dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk mencari dalang perbuatan biadab ini,” katanya. – MalaysiaGazette