Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk menambah baik Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memberitahu, SOSMA masih relevan dan penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Kerajaan berpandangan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) [Security Offences (Special Measures) Act, SOSMA] 2012 masih relevan dan penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang sedemikian bagi membanteras dan membendung ancaman keselamatan seperti pengganas dan sindiket jenayah terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen (Kampar-PH), Su Keong Siong di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini bercadang memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Bagaimanapun, perkara itu tidak dilakukan selama 22 bulan PH menerajui negara.

Sementara itu, menjawab soalan Ahli Parlimen (Selayang-PH), Willian Leong Jee Keen, Hamzah berkata, seramai 16 rakyat Malaysia dikaitkan dengan kumpulan militan yang berada di Syria sudah kembali ke negara ini.

“Jumlah ini adalah merangkumi 12 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanak.

“Daripada 12 orang dewasa itu, sembilan orang sudah pun dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah, seorang masih lagi di dalam proses perbicaraan di mahkamah, seorang sedang menjalani Perintah Sekatan mengikut Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan baki seorang lagi dibebaskan.

“Bagi 4 orang kanak-kanak itu, mereka sudah diserahkan kepada keluarga,” ujarnya. – MalaysiaGazette