Restoran di Sepanyol diminta mengurangkan kapasiti bagi mengelak jangkitan Covid-19. foto Xinhua

MADRID – Kes jangkitan koronavirus di Sepanyol melonjak semula kepada tiga kali ganda dalam tempoh tiga minggu ketika kerajaan masih bergelut menangani wabak tersebut.

Jangkitan kes meningkat di rantau Catalonia dan Aragon, menurut data Kementerian Kesihatan.

Selepas merekodkan ribuan kes jangkitan dan ratusan angka kematian semasa kemuncak pada bulan April lalu, Sepanyol berjaya mengurangkan jumlah kes.

Tetapi sejak sekatan pergerakan dilonggarkan dan penduduk Sepanyol kembali kepada kehidupan biasa, sekitar 201 kluster baharu telah muncul, dengan tumpuan besar di dalam dan sekitar bandar-bandar Catalan di Barcelona dan Lleida.

Kes novel koronavirus telah meningkat dari lapan kes bagi setiap 100,000 penduduk pada akhir bulan Jun, ketika keadaan darurat negara itu berakhir menjadi 27 setiap 100,000, kata wakil kementerian kesihatan.

Pada hujung minggu lalu, 4,581 kes baru direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan 264,836, katanya.

Lebih daripada 28,000 orang telah meninggal dunia.

“Ketika sekatan pergerakan dilonggarkan, maka munculnya kluster-kluster ini.

“Ia disebabkan perhimpunan dalam kalangan keluarga dan aktiviti sosial pada waktu malam,” kata Menteri Kesihatan, Salvador Illa.

Menyifatkan situasi di Catalonia adalah membimbangkan, beliau merayu semua penduduk untuk menghormati langkah-langkah keselamatan kesihatan.

Jumaat lalu, Kerajaan Wilayah Catalan menggesa empat juta penduduknya termasuk di Barcelona untuk terus berada di rumah dan elak daripada berhimpun lebih daripada 10 prang.

Malah restoran juga diminta mengurangkan kapasiti. – MalaysiaGazette