Dr Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang keputusan untuk melaksanakan semula larangan rentas negeri sempena Aidiladha meskipun trend pandemik Covid-19 meningkat sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memberitahu, walaupun rekod keadaan semasa berkaitan penularan virus itu kembali bertambah, namun angkanya masih rendah.

“Belum ada keputusan macam itu lagi (larangan rentas negeri). Cuma keadaan tidak bagus sebab kes meningkat tetapi kita masih lagi angka yang rendah,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengenai penanda aras jika mahu pertimbangkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan capaian kes harian tiga digit, katanya, tiada angka tepat diletakkan.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya kes memuncak, kerajaan mungkin terpaksa bertindak demi keselamatan semua orang.

“Itu yang kita tak mahu berlaku sebenarnya. Sebab kita sudah lalui fasa yang mana ekonomi, perhubungan dan sosial terjejas. Kita tak mahu benda itu berlaku lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Azmi menambah, kerajaan tidak menangguhkan sesi persekolahan tahun ini kerana prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Hari ini adalah hari yang penting. Kumpulan terakhir anak darjah satu hingga darjah empat bersekolah semula.

“Memang kerajaan bimbang dengan suasana sekarang. Sebelum mereka dapat kembali ke sekolah, kita adakan SOP iaitu langkah pencegahan.

“Kita dapat lihat awal lagi apabila kita lepaskan pelajar tingkatan lima dan enam, kita melihat kepatuhan SOP dan saya juga ada melawat beberapa sekolah di Putrajaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast