Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menggesa kerajaan menyatakan sebab sebenar penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH), Tabung Haji Plantations Sdn Bhd (THP).

Beliau mendakwa, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaary tidak jujur dalam menyatakan proses penjualan aset tersebut.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menjual beberapa aset THP kerana syarikat itu mencatatkan hutang sebanyak RM1.24 bilion pada 2018 dan RM1.29 bilion pada 2019.

Jelas Mujahid, tujuan penjualan anak syarikat Lembaga Tabung Haji adalah untuk mengurangkan bebanan hutang.

“Tujuan ini semua adalah untuk bayar hutang. Ia adalah keputusan perniagaan transaksi bukan keputusan politik sebab nak selamatkan THP, sebab kalau teruskan (dengan hutang) THP akan gulung tikar.

“Sebab itu saya rasa kenyataan timbalan menteri tidak adil dan kelirukan dewan tentang THP.

“Beliau tak jujur tak nyatakan proses penjualan adalah sebab kurangkan beban bukan untuk suka-suka jual,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu pada sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Ahmad Marzuk ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, antara lain memaklumkan antara aset THP yang dilupuskan ketika pentadbiran PH, adalah membabitkan Bumi Suria Ventures Sdn Bhd dan Maju Warisan Mas Sdn Bhd dengan 6,514 hektar ladang, yang dijual kepada syarikat bukan Bumiputera, Tamaco Plantation Sdn Bhd.

Beliau kemudian menyebut senarai lima nama Ahli Lembaga Pengarah Tamaco Plantation Sdn Bhd.

Mujahid turut mendakwa bahawa menteri agama ketika pentadbiran Barisan Nasional pada 2015 turut melakukan hal yang sama. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.