KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menggunakan non lethal weapon atau senjata tidak membawa maut secara menyeluruh bagi semua pegawai dan anggota ketika melaksanakan tugas rondaan dan pencegahan jenayah.
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, senjata baharu itu akan digunakan apabila berdepan dengan situasi jenayah lebih agresif atau amuk.
“Misalnya individu yang di bawah pengaruh dadah serta bersikap agresif serta orang gila dan lain-lain.
“Kita kenal pasti dua jenis non-lethal weapon iaitu jenis pistol perenjat elektrik dan ‘net gun’,” katanya pada sidang media khas di Dewan Theatrette Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, tengahari ini.
Rosli berkata, permohonan senjata itu dibuat menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac 2021.
Menurut beliau, jabatannya membuat anggaran awal sebanyak 1,000 unit senjata ”non lethal weapon’ akan diterima.
“Kita mahu menambah baik kualitinya senjata sekarang berdasarkan tarikh luput jangka hayat sejajar dengan perkembangan teknologi pertahanan dan keselamatan semasa,” tegasnya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan sebelum ini pernah memaklumkan Polis Diraja Malaysia sedang mengurangkan penggunaan senjata api terutama apabila berdepan dengan orang agresif atau amuk.
Abdul Hamid berkata, polis mahu menyelesaikan masalah tanpa meragut nyawa.
“Jadi kalau boleh PDRM mahu senjata seperti pistol perenjat elektrik yang diguna pakai polis Amerika Syarikat yang tahan lasak” katanya. – MalaysiaGazette