Datuk Seri Rina Harun

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Gangguan Seksual (RUU GS) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama akhir tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, berdasarkan perancangan asal, draf RUU GS itu dicadang dibentang di Parlimen sekitar Mac lepas.

Katanya, kelulusan dasar melalui Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 5 Februari sudah diperoleh untuk membolehkan RUU berkenaan digubal.

“Namun, mengambil kira perubahan struktur kerajaan terkini, cadangan penggubalan RUU ini perlu dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan keputusan Kerajaan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Ahli Parlimen (Batu Kawan-PH), P Kasthuriraani.

Menurut Rina, kementerian berpandangan kemungkinan terdapat keperluan untuk pindaan susulan dilakukan ke atas akta lain bagi memastikan maksud dan objektif yang selari dengan peruntukan di bawah RUU GS apabila ia diluluskan nanti.

Sementara itu, berhubung pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah bagi melindungi mangsa hendap, Rina memberitahu, beberapa sesi bengkel sudah diadakan dan ‘working draft’ sudah dihasilkan untuk meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.

Ujarnya, berdasarkan perancangan semasa, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) mensasarkan memorandum Jemaah Menteri bagi menggubal peruntukan undang-undang untuk menguntukkan kesalahan ‘harassment’ dan ‘stalking’ sebagai suatu kesalahan jenayah di Malaysia diangkat untuk kelulusan Jemaah Menteri selepas draf itu dimuktamadkan.

Dalam perkembangan lain Rina berkata, bagi menangani isu jenayah siber, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bekerjasama dengan Universiti Multimedia (MMU) untuk menjalankan penyelidikan berkaitan undang-undang anti-buli siber.

Jelasnya, KKMM juga bersetuju untuk bekerjasama dengan MMU bagi melaksanakan kempen literasi kesedaran berhubung hak pengguna media digital di Malaysia. – MalaysiaGazette