Lebuhraya Pan Borne yang masih dalam pembinaan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengakui pertukaran kaedah pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo kepada konsep konvensional dilihat boleh merencatkan hasrat kerajaan untuk membangunkan prestasi kontraktor bumiputera.

Menurut Menteri Kanan Infrastruktur (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, pendekatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) yang digunakan terhadap pembinaan infrastruktur itu sebelum ini menggariskan keperluan supaya 30 peratus daripada keseluruhan rantaian projek diberikan kepada kontraktor bumiputera.

“Bawah konsep PDP, apa yang dihasratkan kerajaan dulu ialah kita kenal pasti kontraktor bumiputera berkemampuan untuk buat porgram berskala besar di Sabah dan Sarawak.

“Kepakaran itu akan memberi manfaat kepada kontraktor, khususnya dari Semenanjung yang tiada pengalaman, sebab itu banyak JV (usaha sama) diwujudkan.

“PDP ialah untuk bangunakn kontarktor Bumiputera apabila 30 peratus daripada keseluruhan projek diberikan kepada syariakt Bumiputera, malah menerusi konsep ini, kita sudah wujudkan unit khusus untuk pantau apa yang dihasratkan kerajaan dapat dicapai.

“Sekarang, kita tidak pasti sekiranya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah atau Sarawak ada unit khusus memantau pembabitan kontraktor Bumiputera supaya mereka dapat belajar projek berksla besar,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab (BN) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Yusuf ingin tahu mengenai apakah status terkini pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pelantikan Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner – PDP) dan kesan penamatan syarikat PDP tersebut terhadap pelaksanaan projek tersebut.

Oleh yang demikian, Fadillah berkata, kementeriannya akan mengendalikan kajian menyeluruh bagi mengenalpasti sama ada pertukaran projek kepada kaedah konvensional memberi kesan kepada hasrat kerajaan sebelum ini.

Jelas beliau, pelaksanaan kajian itu akan terarah kepada kepentingan kontraktor G1 dan G2 supaya pengalaman daripada pembangunan projek berskala besar seperti Lebuhraya Pan Borneo berupaya memberi kesan limpah sewajarnya.

“Selain daripada 30 peratus diberikan kepada kontraktor Bumiputera, kita juga ingin tangani isu berkaitan peluang pekerjaan susulan pertukaran kaedah daripada PDP kepada konvensional,” katanya.

Februari lalu, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng berkata, penamatan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi projek lebuhraya Pan Borneo Sarawak akan berkuat kuasa pada 20 Februari.

Susulan penamatan khidmat PDP, kerajaan akan meneruskan projek lebuh raya terbabit mengikut pendekatan konvensional.

Guan Eng juga berkata, menerusi penamatan perjanjian PDP ini, kerajaan dapat mengurangkan kos perbelanjaan projek ini daripada RM21.857 bilion kepada RM18.846 bilion, penjimatan sebanyak RM3.1 bilion. – MalaysiaGazette