Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur bersama seorang wanita ditahan polis yang akhirnya membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah termasuk syabu bernilai lebih setengah juta ringgit.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bertindak atas maklumat pengedaran dadah, sepasukan polis Bahagian Jenayah Narkotik Sentul telah menahan suspek berusia 33 dan 28 tahun di tepi Jalan Suasa 3, Pekan Sungai Besi pada 21 Julai lalu sekitar jam 1.15 tengahari.

Katanya, hasil tangkapan dan pemeriksaan kedua-dua suspek bersama sebuah kereta Perodua Myvi putih yang dipandunya di kawasan berhampiran Balai Polis Sungai Besi itu berjaya menjumpai tiga anak kunci dan satu kad akses.

“Hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek, pasukan narkotik pada jam 5.40 petang hari yang sama,menyerbu sebuah kediaman unit kondominium di Seri Kembangan, Selangor.

“Pemeriksaan di dalam rumah itu polis berjaya menemui sebuah beg yang mengandungi dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 14,390 gram atau 14.3 kilogram bernilai RM575,600.

“Polis turut dalam beg itu menemui ganja seberat 7.790 kilogram anggaran bernilai RM19,475 dan sebanyak 2,300 biji pil ekstasi seberat 1 kilogram bernilai RM 69,000 yang berjaya dirampas selain wang tunai RM14,000.00 yang ditemui di dalam
kondominium tersebut,” katanya.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah adalah RM664,075.

Sebahagian dadah yang dirampas dari dua suspek di sebuah unit kondominium di Seri Kembangan semalam oleh pasukan Narkotik IPD Sentul kelmarin.Gambar Ihsan: IPK KL.

Tambah beliau, suspek dipercayaia terlibat dalam kegiatan dadah lebih empat bulan lalu menggunakan khidmat parsel J&T Express untuk mengkaburi mata polis manakala saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif THC dan suspek wanita pula  negatif dadah.

Katanya, semakan rekod lampau jenayah terhadap suspek lelaki yang merupakan seorang penganggur mendapati dia mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Manakala, suspek wanita yang merupakan seorang pembantu kedai makan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun, kedua-dua ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam  hingga hingga 28 Julai ini untuk disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil soal siasat lanjut juga mendapati suspek lelaki tersebut mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran dan polis kini mempergiatkan usaha mengesan pembekal dan rakan sindiketnya,” tegas beliau.

Sehubungan itu Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berdekatan.-MalaysiaGazette