SHAH ALAM – Peniaga kecil dan sederhana di Shah Alam City Centre (SACC Mall) dan Kompleks PKNS di sini mempersoalkan apa tujuan pihak pengurusan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengeluarkan notis peringatan tunggakan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Badan Bertindak SACC Mall, Nora Maliki Aman berkata, notis peringatan yang dipanggil ‘surat merah’ itu diberikan kepada peniaga tertentu sahaja, bukan melibatkan semua yang berniaga dan menyewa premis di bangunan berkenaan.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja tidak adil, malah menimbulkan tanda tanya adakah wujud mainan politik dalam soal memberi notis peringatan kepada peniaga di dua pusat perniagaan itu.
“Walaupun saya tidak dapat surat merah itu, saya anggap ini tidak adil. Kalau semua peniaga di dua kawasan ini ada tunggakan, sepatutnya semua diberi notis peringatan tetapi tidak.
“Saya dimaklumkan di SAC Mall hanya 28 peniaga dari lebih 100 penyewa dan 30 peniaga dari lebih 100 penyewa di Kompleks PKNS diberi surat merah. Ini tidak adil.
“Lagi menyebabkan saya tidak faham ialah kami baharu sahaja berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PREC, Fakru Radzi Ab. Ghani mengenai masalah dihadapi peniaga, tetapi tidak lama kemudian, notis peringatan sampai,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks PKNS di sini, hari ini.
Menurut Nora, beliau telah dua kali bermesyuarat dengan CEO PREC dan turut menyerahkan memorandum menyatakan peniaga di dua kawasan ini tetap dengan keputusan supaya pengurusan PREC memberi kelonggaran potongan bayaran sewa 50 peratus selama 12 bulan sehingga Februari 2021,
Bagaimanapun, katanya, Fakru Radzi menawarkan kepada peniaga di situ untuk memberi enam bulan sahaja dengan bayaran sewaan 50 peratus dan enam bulan lagi sehingga Februari 2021 mesti berbayar.
“Dia beri tawaran 50 peratus enam bulan, pada masa sama enam bulan lagi kita kena bayar. Yang dikenakan bayaran itu bermula dari bulan pelaksanaan PKP, yang mana perniagaan kami terjejas teruk.
“Dalam mesyuarat itu, kami beritahu tidak terima tawaran berkenaan, sebab peniaga sudah kehabisan sumber kewangan kerana perniagaan merosot dan minta kelonggaran 50 peratus sewa bulan untuk tempoh setahun.
“Saya tidak faham kenapa dia main Tarik tali dengan kita, sedangkan, beberapa mall terkenal, ada yang dapat pengecualian tiga bulan dari pihak pengurusannya,” katanya sambal memaklumkan peniaga di SACC Mall dan Kompleks PKNS 100 peratus Melayu beragama Islam.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Kompleks PKNS, Latifah Jalil berkata, mereka menolak tawaran tapak promosi oleh PREC kerana menyifatkan sebagai tidak adil disebabkan hanya segelintir peniaga yang dapat, sedangkan semua mereka di situ terkesan dengan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, apa salahnya kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari memperuntukan RM1 hingga RM2 juta untuk membantu menyelesaikan masalah peniaga di situ, kerana Selangor adalah sebuah negeri paling maju dan kaya di Malaysia.
“Sepatutnya kami dibantu ketika berdepan dengan Covid-19, tetapi suara kami tidak didengar. Kami ditekan dengan notis peringatan supaya menjelaskan tunggakan sewa premis sejak bermula pandemik coronavirus Mac lalu.
“Agak kelakar, apabila kami diberitahu, kalau tidak mampu bayar tunggakan dengan wang, kami boleh bayar dengan barang jualan kami seperti pakaian yang tidak laku ketika tempoh PKP,” katanya yang sedih dengan jawapan itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: