SHAH ALAM – Peniaga hanya minta hak mereka untuk mendapatkan pembelaan dari kerajaan negeri bukan mahu lawan mana-mana atau bermain politik.
Itu tegas Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.
Beliau berkata, apa yang diminta oleh peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Shah Alam City Centre (SACC Mall) ialah bayaran sewa premis 50 peratus untuk tempoh satu tahun atau enam bulan tidak perlu bayar sewa kerana perniagaan terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, dua pilihan itu sahaja yang diminta oleh ahli Ikhlas berjumlah lebih 60 peniaga dari dia tempat berkenaan kerana perniagaan mereka merosot dan ada yang gulung tikar sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
“Kita minta (bayaran) sewa untuk 12 bulan sebanyak 50 peratus atau enam bulan peniaga tidak perlu bayar sewa sebagai memberi peluang kepada mereka untuk laluan era pemulihan perniagaan.
“Bagaimanapun, peniaga ditekan dengan notis peringatan tunggakan sewa premis dari pihak pengurusan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), yang memberi tempoh tujuh hari kepada peniaga agar menjelaskan keseluruhan tunggakan sewa sepanjang ‘berniaga’ dalam tempoh PKP bermula 18 Mac lalu.
“Apabila peniaga terima notis berkenaan, yang ditambah dengan peringatan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya gagal menjelaskan tunggakan, makin merasa terteka,” katanya kepada pemberita di Kompleks PKNS di sini, hari ini.
Kira-kira 50 peniaga kecil dari dua lokasi iaitu Kompleks PKNS dan SACC Mall hadir.
Menurut Mohd Ridzuan, beliau telah berjumpa dengan pengurusan tertinggi PREC berbincang mengenai perkara itu dan diberi jaminan akan mengangkatnya kepada kerajaan negeri.
Malangnya, kata beliau, belum pun mereka mendapat jawapan hitam putih dari pihak tertinggi PREC, surat merah berbentuk notis peringatan telah dihantar kepada peniaga, menyebabkan mereka semua dalam keadaan tertekan.
“Sebelum ini peniaga dalam dilema dan tertekan kerana perniagaan merosot disebabkan PKP, hari ini mental dan fizikal mereka bertambah tertekan dengan penerimaan notis peringatan dari PREC.
Katanya, IKHLAS memberi tempoh sehingga 25 Julai ini kepada PREC untuk memberi jawapan berhubung dua pilihan tuntutan itu, dan sekiranya tiada keputusan, pihaknya tidak teragak-agak berhimpun di hadapan pejabat Menteri Besar.
Beliau turut menolak tapak promosi percuma yang ditawarkan PREC kepada peniaga berkenaan kerana menganggap tawaran itu ‘ada udang di sebalik batu’.
“Saya percaya tawaran ini ada unsur rasuah atau sogokan. Jadi, kita tolak. Kita hendak selesaikan isu ini dengan baik, bukan hendak merumitkan. Sebab peniaga sekarang dalam situasi tertekan.
“Kita tidak boleh tekan sesiapa pun lebih lagi peniaga ketika PKP, yang mana perniagaan mereka merosot teruk. Sepatutnya mereka meringankan beban peniaga, minta peniaga bayar tunggakan ansur-ansur, bukan hantar surat merah menakut-nakutkan peniaga.
“Sepatutnya juga, dalam keadaan ini, PREC ajak berunding. Ambil contoh seperti institusi kewangan menawarkan moratorium selama enam bulan kepada pelanggannya,” ujar beliau.
Mohd Ridzuan bagaimanapun, menjelaskan, pihaknya telah mewujudkan Badan Bertindak Peniaga SACC Mall dan Badan Bertindak Peniaga Kompleks PKNS serta peguam untuk menangani isu itu. – MalaysiaGazette