Meenakshi.

GEORGE TOWN – Empat kerajaan negeri digesa tidak mensia-siakan pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 (APK 1984) yang bertujuan memperketatkan proses penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, ia susulan Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan terbaru Pahang pada 27 Ogos lalu memutuskan untuk tidak menerima pakai Seksyen 11 dan 12 APK 1984 sedangkan pindaan lain boleh diterima pakai.

Menurutnya, Seksyen 11 yang dipinda mewajibkan penyertaan awam sebelum sebarang penyahwartaan HSK, manakala Seksyen 12 mewajibkan kawasan HSK yang dinyahwartakan diganti secara serentak dengan kawasan baharu berkeluasan sama atau lebih besar.

“Janganlah negeri-negeri mensia-siakan perkembangan perundangan yang penting dan positif seperti ini. Ini seperti satu pembaziran peluang, wang, sumber dan masa pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Meenakshi berkata, kedua-dua seksyen itu diperkenalkan bagi mengelakkan sumber hutan dieksploitasi sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kepentingan umum, hak komuniti serta fungsi biologi dan ekosistem kawasan HSK.

Katanya, penyertaan awam dan perlindungan keluasan HSK juga dapat meningkatkan ketelusan urus tadbir setiap negeri.

“Jika tiada udang di sebalik batu, penyertaan awam dan perlindungan keluasan HSK bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti oleh negeri-negeri.

“Mereka perlu memberikan jawapan yang munasabah tentang hal ini kepada rakyat mereka dan pihak awam,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan motif keengganan empat negeri berkenaan menerima pakai kedua-dua seksyen tersebut, selain menyifatkan keadaan itu sebagai tidak adil kerana hak rakyat untuk dibawa berunding boleh berbeza mengikut negeri.

Mengulas alasan Pahang bahawa tanah dan hutan berada di bawah bidang kuasa negeri, Meenakshi berkata, alasan berkenaan bukan jawapan yang munasabah kerana isu itu tidak berkaitan dengan persoalan bidang kuasa.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan menggunakan kaedah lebih berkesan bagi memastikan negeri mematuhi objektif nasional berkaitan perlindungan hutan.

“Antara lain, kerajaan Persekutuan perlu memperketatkan proses pemberian dana seperti Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada negeri-negeri untuk memastikan mereka tidak mengambil tindakan-tindakan yang bertentangan dengan perlindungan hutan.

“Negeri-negeri yang tidak menyokong usaha di peringkat kebangsaan sebenarnya tidak wajar lagi dianugerahkan geran-geran seperti ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here