BATU PAHAT – Penantian penduduk setempat selama kira-kira 11 tahun untuk melihat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya di Parit Yaani di sini beroperasi berakhir apabila dibuka secara berperingkat-peringkat bermula hari ini.
Seramai 222 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga mengikuti sesi persekolahan pada fasa pertama menerusi pembukaan sembilan kelas sebelum kapasiti sekolah ditingkatkan kepada 30 kelas yang mampu menampung 900 pelajar apabila beroperasi sepenuhnya pada 2028.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Muhamad Naqib Md Ghazali, hari ini merupakan satu perkembangan penting bagi komuniti pendidikan di Parit Yaani dan kawasan sekitarnya apabila SMK Suria Jaya mula beroperasi secara rasmi.
“Ini sekali gus membuka lembaran baharu kepada warga sekolah serta keluarga di kawasan ini. Pembukaan SMK Suria Jaya amat bermakna kerana sekolah ini merupakan antara kemudahan pendidikan yang telah lama dinantikan masyarakat setempat khususnya penduduk Parit Yaani, Sri Medan, Yong Peng dan kawasan sekitar.
“Projek pembinaan SMK Suria Jaya dimulakan pada 2013 dengan tarikh siap asal ditetapkan pada 24 Jun 2015. Bagaimanapun, projek ini berdepan beberapa isu pelaksanaan dan kelewatan yang menyebabkan ia dikategorikan sebagai projek sakit,” katanya.
Muhammad Naqib berkata demikian dalam sidang media semasa lawatan kerja sempena pembukaan secara rasmi untuk hari pertama SMK berkenaan hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohammad Najib Samuri dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPN, Mohd Azmi Abd Rahman.
Mengulas lanjut, Muhammad Naqib berkata, kemajuan fizikal projek SMK berkenaan pernah mencapai kira-kira 97 peratus pada 2020, namun masih terdapat baki kerja yang perlu diselesaikan.
Susulan itu pelbagai tindakan pemulihan, penyelarasan dan pemantauan telah dilaksanakan oleh pihak berkaitan bagi memastikan projek SMK berkenaan dapat disempurnakan.
Antara langkah penting termasuk proses penamatan kontraktor terdahulu serta usaha mendapatkan penyelesaian bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dan pemulihan disambung semula, katanya.
Kerja-kerja pemulihan ujar beliau, kemudian diteruskan pada 2023 sebelum sekolah akhirnya bersedia untuk beroperasi pada tahun ini.
“Selepas melalui proses yang panjang, SMK Suria Jaya kini akhirnya dapat digunakan sepenuhnya sebagai sebuah institusi pendidikan yang menyediakan persekitaran pembelajaran lebih dekat dan sesuai kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata, pengoperasian SMK Suria Jaya bukan sekadar pembukaan sebuah bangunan sekolah baharu, tetapi merupakan satu kemudahan pendidikan yang memberi nilai tambah kepada komuniti setempat.
Sebelum ini kelewatan penyempurnaan sekolah menyebabkan sebahagian pelajar dari kawasan sekitar mendapatkan pendidikan menengah di sekolah lain termasuk di Yong Peng.
“Dengan beroperasinya SMK Suria Jaya, akses kepada pendidikan menengah yang lebih dekat dapat diperkukuhkan, sekali gus memberi manfaat kepada murid, ibu bapa dan komuniti setempat.
“Lebih penting, pembukaan sekolah ini membuktikan bahawa projek pembangunan yang berdepan cabaran dan kelewatan masih boleh diselesaikan melalui Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama rapat Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, pihak sekolah, kontraktor serta semua agensi berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette
















