Dr Muhammad Naqib menyantuni pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga yang mengikuti sesi persekolahan pada fasa pertama di SMK Suria Jaya di Parit Yaanii, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Kerajaan Negeri Johor mencadangkan satu jawatankuasa khas diwujudkan sebagai badan pemantau bagi memastikan projek pembinaan serta penyelenggaraan sekolah termasuk yang terbengkalai dapat dipulihkan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Muhamad Naqib Md Ghazali berkata, jawatankuasa khas itu akan memastikan projek-projek terbabit dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan serta mengikut jadual.

Jelas beliau, cadangan berkenaan dibuat selepas melihat sendiri pelbagai isu berkaitan sekolah ketika turun ke lapangan, termasuk masalah infrastruktur dan penyelenggaraan.

“Antara perkara yang sering dibangkitkan pengetua dan guru besar ialah masalah bumbung, longkang serta kemudahan sekolah.

“Hasil perbincangan bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) baru-baru ini, kami mencadangkan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk pemantauan dan menyelesaikan permasalahan infrastruktur serta penyelenggaraan sekolah-sekolah,” katanya.

Muhammad Naqib berkata demikian dalam sidang media semasa lawatan kerja sempena pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya di Parit Yaani di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohammad Najib Samuri dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPN, Mohd Azmi Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Muhammad Naqib berkata, penyelenggaraan sekolah adalah isu penting dan tidak bergantung kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua dan guru besar sahaja.

Tambahnya, penubuhan jawatankuasa berkenaan penting bagi memastikan masalah sekolah dapat dikenal pasti, dirancang dan diselesaikan mengikut keutamaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here