KUALA LUMPUR – Di tengah-tengah salah satu kawasan bersejarah Kuala Lumpur, Chinatown 1974 secara rasmi dibuka pada 5 September lalu menandakan kedatangan destinasi warisan hidup yang baru di Jalan Petaling.
Pelancaran rasmi diketuai Pengerusi Chinatown 1974 dan Pengasas iME Entertainment Group Asia, Datuk Brian Chow dan turut dihadiri enteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pengarah Urusan Menara Rezeki, Datuk Seri Saiful Nizam Mohd Yusoff.
Saiful Nizam dan isterinya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, antara pengasas projek Chinatown 1974 berharap untuk menceburi lebih banyak projek seperti itu.
“Idea ini adalah untuk mengubah sebuah bangunan lama dan usang, ia telah kosong dan kami sentiasa mahukan idea di mana kami menghidupkan semula sebuah bangunan.
“Daripada projek dan bangunan yang terbiar, bangunan itu telah hidup semula dalam bentuk Chinatown 1974 di tengah-tengah KL di Jalan Petaling.

“Kami percaya ia akan menjadi kejayaan yang baik kerana ia menawarkan pilihan makanan yang hebat untuk semua dan dalam gaya vintaj.
Selain itu, terdapat juga hotel dan kawasan rehat di bahagian atas bangunan. Semua makanan di sini adalah halal dan ia untuk semua orang di negara ini melawat dan menikmati pilihan makanan. Memang destinasi yang sangat istimewa untuk semua,” kata Saiful Nizam ketika ditemui baru-baru ini.
Nurulhidayah pula menambah, mereka juga sedang mencari bangunan lain yang boleh menawarkan kepelbagaian yang sama seperti Chinatown 1974.
“Daripada membiarkan bangunan itu melalui situasi yang sukar, kami percaya terutamanya yang terletak di lokasi strategik, boleh menawarkan pelbagai pilihan yang berbeza untuk rakyat Malaysia dan juga pelancong asing. Sekarang ini, selain KL, kami sedang mencari lokasi-lokasi seperti itu di Pulau Pinang,” katanya.
Terletak secara strategik di sepanjang Jalan Petaling di tengah-tengah Jalan Petaling Kuala Lumpur, Chinatown 1974 berada dalam salah satu daerah warisan dan pelancongan yang paling dikenali di Malaysia.
Direka sebagai tempat percutian di mana pesona warisan tahun 1970-an bertemu dengan kemewahan kontemporari, hotel itu mendapat inspirasi daripada romantik perjalanan dunia lama dan rasa nostalgia sinematik, mengajak tetamu untuk memperlahankan langkah dan melangkah ke era lain.
Secara ringkas dan untuk rekod, Chinatown 1974 menggabungkan tiga konsep F&B yang berbeza, sebuah pavilion kesihatan, sebuah hotel butik 32 bilik, destinasi minuman khas di atas bumbung, pengalaman durian dan konsep ais parut Malaysia bergerak, Chinatown 1974 mempersembahkan warisan melalui makanan, hospitaliti, kesihatan dan pengalaman gaya hidup kontemporari. – MalaysiaGazette
















