KUALA LUMPUR – Dua rumah berkembar musnah manakala sebuah kereta Honda Civic turut rosak teruk dalam kebakaran di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang dekat sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.01 pagi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi 11 minit kemudian dan mendapati kebakaran membabitkan dua rumah berkembar.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 3.12 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan dua rumah berkembar. Sebuah kereta Honda Civic turut terbakar dalam kejadian itu”” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal dan memadamkan kebakaran.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Seramai 14 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan yang membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas.
Operasi turut menggunakan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tangki air dan sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS). – MalaysiaGazette
















