PUTRAJAYA – Bekas Pengarah Besar Felda direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan salah guna kuasa membabitkan pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di ibu negara serta urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret hari ini selepas membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu lelaki berusia lewat 60-an itu tiba kira-kira pukul 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM.
Beliau yang mengenakan baju berkolar hijau ditahan pada kira-kira pukul 4 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan.
Turut ditahan ialah seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang hadir untuk memberikan keterangan dalam siasatan berkenaan.
Penahanan itu dibuat susulan pembukaan tujuh kertas siasatan oleh SPRM minggu lalu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Difahamkan, seorang lagi individu berkenaan mengalami masalah kesihatan dan dimasukkan ke hospital.
Bagaimanapun menurut sumber, permohonan reman akan dilakukan SPRM di hospital berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman sebelum ini berkata, operasi khas berskala besar dikenali sebagai Ops Fella itu memberi tumpuan terhadap transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan Felda dan FIC sepanjang tempoh 10 tahun antara 2010 hingga 2020.
Daripada tujuh kertas siasatan itu, enam dibuka pada 24 Ogos lalu manakala satu lagi merupakan kertas siasatan lama yang masih aktif dan kini dalam proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Antara perkara yang disiasat termasuk pelaburan dalam Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpangkalan di Limbang, Sarawak; pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Service Apartments di London.
Siasatan turut meliputi penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta dakwaan penyelewengan berkaitan pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC). – MalaysiaGazette
















