Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – UMNO boleh mengubah semula keputusan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin jika beliau berhasrat menyertai parti itu kembali, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tambah Timbalan Presiden UMNO itu, jika perdana menteri itu berbuat demikian, ia akan memudahkan banyak perkara antaranya pembahagian kerusi pilihan raya kelak.

“Kalau ada hasrat (Muhyiddin) kembali kepada parti, kita boleh mengubah semula keputusan memecat beliau.

“Beliau akan jadi perdana menteri yang didukung parti yang besar dan ramai ahli parlimen, jadi lebih mudah dan lebih senang.

“Tiada masalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), misalnya dari segi pembahagian kerusi,” katanya seperti dipetik portal Malaysia Post hari ini.

Untuk rekod, Muhyiddin telah dipecat dari UMNO pada 24 Jun 2016 kerana mempersoalkan isu skandal 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang pada ketika itu merupakan presiden parti dan perdana menteri.

Muhyiddin kemudian berganding bahu dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti Bersatu bertanding pada PRU-14 dan akhirnya memenangi pilihan raya tersebut dan berdiri bersama blok Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Muhyiddin dan Mahathir kini berpecah ekoran ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk kerajaan baru bersama pembangkang termasuk UMNO dan kini menjadi perdana menteri.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.