Seorang pelanggan menulis nama sebelum masuk ke premis restoran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari pertama bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Briekfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2020
KUALA LUMPUR – Pelanggan restoran yang menggunakan identiti dan nombor telefon palsu semasa menjamu selera akan menerima saman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan sebaran dalam media sosial bahawa polis melakukan “serbuan” ke atas premis makan untuk memeriksa nama dan nombor telefon yang didaftarkan pelanggan.
Pelanggan yang memberi maklumat palsu akan dikenakan kompaun sehingga RM300.
Abdul Hamid memberitahu Sinchew Daily, peraturan yang ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan harus dipatuhi sepenuhnya.
Jelasnya, ia bertujuan memastikan pihak berkuasa dapat menjejak orang berkenaan sekiranya berlaku kes jangkitan.
Menurutnya lagi, pasukan pemantauan telah ditubuhan polis untuk memastikan tidak berlaku “penipuan” dalam buku rekod kunjungan.
Sebelum ini, terdapat orang yang mengisi maklumat palsu malahan meletakkan nama-nama pelik seperti Superman dan Batman semasa diminta mengisi maklumat. – MalaysiaGazette