KUALA LUMPUR – Kehendak manusia sememangnya tidak terbatas dan sukar dipuaskan.
Ada yang bijak merancang pembelian dan hanya membeli jika perlu, tetapi ramai juga antara kita yang terjebak secara semberono, dan kemudian mengeluh panjang kerana barangan dibeli itu hanya berguna buat seketika.
RentSmart adalah penawar, malah bertindak sebagai penyelesai masalah, jika anda inginkan sesuatu barang hanya untuk kegunaan jangka pendek dan tidak pernah berniat mahu membeli.
Menawarkan pelbagai barangan, dari kamera kalis air untuk aktiviti hujung minggu di pulau, atau gerudi bagi menggantung bingkai gambar di rumah, atau mungkin beberapa buah kerusi dan ‘kutleri’ untuk majlis-majlis besar.
Sesuai dengan nama, RentSmart membolehkan anda menyewa secara bijak barangan diingini mengikut masa tertentu, sekali gus menawarkan penjimatan berganda.
Menurut pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Indran Gegathesa, sebagai syarikat pemula (start up), RentSmartAsia yang berpangkalan di Malaysia menyediakan platform sewaan atas talian ‘peer-to-peer’ yang diinsuranskan sepenuhnya untuk perkongsian sumber.
Kata Indran kepada MalaysiaGazette, sebagai syarikat yang pertama seumpamanya di Malaysia, RentSmart Asia membolehkan anda menyewa barang-barang yang tidak digunakan lagi dan pada masa sama, menyediakan akses kepada barangan diperlukan pada harga yang murah, untuk kegunaan jangka pendek dengan mudah.
Jelas usahawan muda itu, syarikat itu menawarkan platform penyewaan seperti yang dilakukan di eBay untuk proses membeli dan menjual barang terpakai.
“Dalam erti kata lain, model perniagaan digunapakai RentSmart akan memanfaatkan konsep perkongsian ekonomi.
“RentSmart dicipta kerana kami percaya bahawa kita tidak perlu lagi membeli barang yang jarang digunakan, sekaligus meringankan beban pembelian dan mengekalkan aset baharu.
“Samada dari aspek kewangan atau persekitaran, tekanan ekonomi global hari ini menyebabkan orang ramai seakan kurang berminat untuk memiliki sesuatu,” katanya.
Menurut beliau, pandemik Covid-19 yang melanda dunia memberi banyak impak negatif, khususnya ke atas individu dan keluarga, apabila kehilangan punca pendapatan selepas berdepan tindakan drastik dibuang kerja atau diberhentikan perkhidmatan, apabila syarikat ditutup.
“Sebenarnya RentSmart mampu meringankan beban ini dengan menyediakan peluang untuk mereka menjana pendapatan tambahan di samping penjimatan wang pada waktu yang sukar ini
“RentSmart menghubungkan pemilik barangan terpakai dan yang tidak digunakan lagi kepada mereka yang memerlukan.
“Dengan gabungan teknologi ‘risk-profiling’ dan insurans, kami berhasrat untuk membolehkan sesiapa sahaja mendapat akses ke hampir semua barangan yang diperlukan dengan cepat, lancar dan selamat, ” tambahnya.
Semua barangan diiklankan di RentSmart Asia dilindungi sepenuhnya oleh insurans, sekali gus mengurangkan risiko yang perlu ditanggung pemilik.
Indran berkata, pelanggan boleh menyewa barangan dikehendaki dengan membayar deposit serendah RM100.
Sejak dilancarkan pada Jun 2019, platform RentSmart Asia berjaya menarik minat pelanggan yang memerlukan produk seperti kamera, projektor dan skrin, sistem PA, basikal, jaket musim sejuk dan peralatan perkhemahan untuk kegunaan jangka pendek.
“Platform ini juga menyenaraikan barangan yang sukar diperoleh, iaitu Yumi, sebuah busur dan anak panah tradisi Jepun.
“Bagi sewaan untuk jangka masa panjang pula, pelanggan berpeluang menikmati kadar diskaun yang menarik,” katanya.
Idea awal penubuhan RentSmart Asia jelas Indra, bertitik tolak pada 2018 hasil minat mendalam beliau terhadap sukan berbasikal.
“Saya terpaksa membelanjakan sejumlah besar wang untuk membeli beg mengisi basikal jika menyertai aktiviti kayuhan di luar negara.
“Apabila kembali ke Malaysia, saya dapati ada rakan yang membeli beg itu sedangkan ia tidak digunakan sama sekali,” terangnya.
Senario berkenaan jelas beliau, memberi ilham untuknya menubuhkan satu platform khas yang membolehkan individu menyewa barangan diingini daripada pemilik tertentu.
“Bersama dengan Parthiven Shan, pengasas bersama dan Perunding Teknikal RentSmart Asia, kami mengembangkan platform ini,” ujar Indran.
Buat masa ini, perkidmatan RentSmart Asia hanya terdapat di Lembah Klang dan bakal diperluaskan ke negeri lain menjelang akhir tahun 2020.
Pelanggan boleh melayari laman web www.rentsmartasia.com untuk keterangan lanjut. –MalaysiaGazette