Black kini muncul dengan single baharu berjudul Sabar.

KUALA LUMPUR – Empat tahun menanti, penyanyi Black akhirnya muncul dengan single baharu berjudul Sabar.

Menariknya, lagu Sabar adalah ciptaan sepenuhnya oleh Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah.

Lagu bergenre balada itu sebenarnya telah lama dicipta oleh Black namun pada mula,  dia tidak yakin untuk ketengahkan karyanya itu.

“Sudah empat tahun saya simpan lagu ini dan baru kali ini saya mempunyai keyakinan untuk melancarkan lagu itu sekali gus mengembalikan identiti muzik nyanyian saya.

“Lagu ini 100 peratus hasil ciptaan saya. Sepanjang 12 tahun dalam industri, saya curahkan semua perasaan dalam lagu ini yang mana sudah disimpan selama empat tahun.

“Alasannya, ketika itu saya tidak yakin dengan diri untuk menghasilkan lagu sendiri. Namun, sepanjang tempoh itu saya ada memperdengarkan lagu ini kepada rakan penyanyi lain. Maklum balas diberikan, mereka cakap kenapa saya tidak rakamkan lagu ini.

“Apabila lagu ini siap sepenuhnya dan dengar semula, mereka siap boleh hafal lagi. Itu menambahkan lagi keyakinan saya untuk mengeluarkan lagu ini. Malah, rakan bukan dalam industri pun suka dan jatuh cinta dengan lagu ini,” katanya yang berusia 33 tahun.

Lagu Sabar bergenre balada itu telah lama dicipta oleh Black sejak empat tahun lalu.

Juara program Mentor musim ketiga itu dan pernah menjadi vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain pada tahun 2009 mengakui Sabar adalah lagu yang cukup kena dengan jiwanya.

“Apa yang boleh saya katakan, lagu Sabar ini sangat lain dari lagu-lagu yang dihasilkan beberapa tahun sebelum ini. Ia lagu balada yang memang kena dengan jiwa saya. Kalau nyanyi pun memang feel sepenuhnya.

“Dalam erti kata lain, lagu ini sebenarnya mengembalikan zaman saya mula-mula dulu. Kiranya kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ini adalah muzik dan identiti saya.

“Sewaktu proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat saja sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan lirik,” ujarnya.

Lagu balada sesuai dengan jiwa Black.

Berkongsi lanjut, Black berkata, lagu itu dirakam dan disiapkan sepenuhnya sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Empat tahun lalu lagu ini sangat raw. Apabila ada keyakinan, saya terus siapkan. Malah, gubahan lagu ini juga sama seperti apa yang saya bayangkan masa di awal dulu,” katanya.

Menurut Black, lagu Sabar mengisahkan bagaimana seseorang bersabar dengan kehidupan dilalui sama ada kesabaran itu beroleh kegembiraan atau sebaliknya.

“Sewaktu menulis lagu ini diakui saya dalam keadaan tertekan dengan kehidupan sendiri. Jadi, mesej yang ingin disampaikan adalah sabar.

“Boleh jadi, sabar itu satu penantian dan permulaan dalam kehidupan. Mungkin ada yang bersabar hingga hujungnya peroleh kebaikan. Begitu juga sebaliknya.

“Sabar ini juga boleh dikaitkan dalam perhubungan percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan apa saja. Kiranya, siapa yang mendengar lagu ini boleh dikaitkan dengan diri masing-masing,” jelasnya.

Single Sabar terbitan dan edaran Nova Music Malaysia akan dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer, hari ini.

Serentak dengan itu, video muzik lirik Sabar juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos sejak 24 Julai lalu. – MalaysiaGazette