Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak tujuh kes baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini melibatkan empat kes import dan tiga kes penularan dalam negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, empat kes import itu mendapat jangkitan dari Indonesia, Australia, Russia dan Pakistan.

Katanya, tiga daripada empat kes import itu adalah warga negara dan satu bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,904 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 179 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19, di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak satu kes sembuh dilaporkan setakat jam 12 tengahari tadi, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 8,601 kes.

“Tiada pertambahan kes kematian disebabkan Covid-19 hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 124 kes,” katanya.

Jelasnya Dr Noor Hisham, tiga kes penularan tempatan yang dilaporkan hari ini pula melibatkan tiga kes saringan pra pembedahan di mana dua kes dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Manakala satu kes lagi dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas,” katanya.

Bagaimanapun katanya tiada kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), setakat hari ini. – MalaysiaGazette