Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Shahrim Md Zain.

KUALA LUMPUR – Menjelang hari penentuan kes SRC International Sdn Bhd terhadap Datuk Seri Najib Razak, sebanyak empat bas penyokong dari Parlimen Pekan akan turun ke Mahkamah Kuala Lumpur esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Shahrim Md Zain berkata, rombongan itu bagi menyatakan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri itu sama ada disabit atau dibebaskan dalam penghakiman esok.

“Insya-Allah Parlimen Pekan sahaja setiap empat DUN dalam Parlimen Pekan akan turun di Mahkamah Jalan Duta, esok.

“Dimaklumkan juga sokongan penuh daripada semua penyokong Najib Razak akan bersama pada pagi esok.

“Kita di Parlimen Pekan ramai akan sama-sama menyatakan sokongan penuh dan akan turun sama-sama pada keesokan pagi untuk memberikan sokongan moral kepada pemimpin kita,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Terdahulu Kelab Sahabat Najib N87 menganjur solat zohor, solat hajat secara berjemaah dan bacaan Yasin bagi mendoakan keputusan mahkamah esok berpihak kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Ahli Kelab Sahabat Najib dan pelajar madrasah membaca surah yasin selepas menunaikan solat zohor dan solat hajat bagi keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan disabitkan atau dilepaskan daripada tujuh pertuduhan di Surau Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JULAI 2020.

Kira-kira 120 ahli Kelab Sahabat Najib N87 hadir sama mendoakan agar bekas Perdana Menteri itu diberi keadilan daripada tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Shahrim mengesa penyokong dan rakyat Parlimen Pekan khususnya terus berdoa dan mengerjakan solat hajat untuk pemimpin yang berjiwa rakyat itu.

“Kita harapkan semua dapat buat solat hajat semoga Allah permudahkan dan bukakan segala kebenaran kepada rakyat seluruh negara bagi melihat pemimpin ini yang selama ini memperjuangkan nasib rakyat di akar umbi.

“Selaku orang muda akan terus beri sokongan penuh kepada Najib selaku ahli Parlimen Pekan,” katanya.

Shahrim sendiri mengagumi kepimpinan Najib sepanjang menjadi Ahli Parlimen Pekan dan Perdana Menteri selama sembilan tahun sebelum ini.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang saya sangat kagumi dan masyarakat di Parlimen Pekan.

“Memang satu cabaran kepada Datuk Seri Najib Razak apabila dihadapkan di mahkamah namun kita terus berdoa agar beliau diberikan keadilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes SRC: Nasib Najib ditentukan Selasa ini

3 Komen

  1. Semoga Allah tunjuk kan kebenaran.
    Yg bathil@maksiat disegerakan azabnya.
    Yang benar@hak ditunjukkan kebenarannya.

    Agar rakyat Malaysia hidup tanpa kepura-puraan.

Comments are closed.