KUALA LUMPUR – Mulai hari ini, polis akan menangkap dan mendakwa di mahkamah seramai 2,897 individu yang belum tampil untuk ujian saringan kedua.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta orang ramai melaporkan kepada polis sekiranya terdapat individu dengan gelang kuarantin keluar di tempat-tempat awam.

”Polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dan mereka boleh dikenakan tindakan kompaun RM1,000 ataupun didakwa di mahkamah dan boleh
dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya di sini hari ini.

Beliau sekali lagi memaklumkan bermula 24 Julai 2020, semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warga negara asing mengikut kategori yang dibenarkan masuk ke Malaysia perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin yang ditetapkan.

Bagi warga asing yang menjalani kuarantin wajib 14 hari, mereka perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan Covid-19.

Manakala bagi rakyat tempatan pula, mereka hanya perlu menanggung 44% kos dan bakinya oleh kerajaan.

Sehingga kini, seramai 1,448 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di enam hotel dan tiga Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

Mereka pulang dari 19 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran,
Bangladesh, China dan Australia.

Ismail Sabri berkata, keputusan untuk membuka semula Stesen Kuarantin untuk proses kuarantin wajib 14 hari diambil mengambil kira peningkatan kes import dan risiko penularan jangkitan Covid-19 akibat ketidakpatuhan prosedur standard operasi kuarantin di rumah.

”Kerajaan memandang serius insiden-insiden ketidakpatuhan ini hingga menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.- MalaysiaGazette