Dr Mike Ryan. Foto Reuters

GENEVA – Covid-19 adalah kecemasan kesihatan paling teruk yang pernah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya akan memanggil semula jawatankuasa kecemasan WHO minggu ini untuk disemak semula perkara ini.

Sebelum ini terdapat lima keadaan darurat kesihatan global yang pernah diisytiharkan WHO iaitu ebola (dua wabak), zika, polio dan selesema babi.

Kira-kira enam juta kes Covid-19 dilaporkan sejak Januari lalu dengan 650,000 kematian.

“Ketika saya mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa pada 30 Januari … kurang dari 100 kes di luar China dan tidak ada kematian.

“Covid-19 telah mengubah dunia. Ia telah menyatukan orang, masyarakat dan negara dan kemudian memisahkan mereka,” katanya.

Jumlah kes, tambahnya, telah meningkat dua kali ganda dalam enam minggu terakhir ini.

Walaupun dunia telah berusaha memerangi virus itu, tetapi ‘laluannya sulit dan panjang di depan kita”, katanya.

Pada taklimat di Geneva, Switzerland, WHO berkata, larangan perjalanan tidak dapat menjadi jawapan untuk jangka panjang dalam menangani virus ini.

Sebaliknya negara-negara di dunia harus melakukan lebih banyak usaha untuk menghentikan penyebaran dengan melaksanakan strategi yang terbukti berkesan iaitu  penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

“Hampir mustahil bagi setiap negara untuk menutup sempadan mereka untuk masa yang akan datang. Ekonomi harus dibuka, orang harus bekerja, perdagangan harus disambung semula,” kata Pengarah Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan.

Bagaimanapun, beliau mengakui penutupan lebih lanjut negara-negara yang mengalami wabak itu mungkin diperlukan, tetapi mencadangkan ia dilakukan pada tempoh yang singkat dan terbatas pada wilayah geografi tertentu.

“Semakin kita memahami mengenai virus, semakin banyak perkara dapat kita lakukan untuk mengendalikannya,” kata Ryan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast