Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin segera melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi bagi membantu rakyat Malaysia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi krisis ekonomi semasa.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini adalah harga kecil yang perlu dibayar oleh industri perbankan negara apabila 93% atau 7.7 juta individu peminjam dan lebih dari 245,000 atau 95% peserta PKS telah mendapat keuntungan daripada moratorium enam bulan yang dilaksanakan sejak 1 April.

Lagipun, katanya, industri perbankan telah memperoleh anggaran keuntungan selepas cukai sekitar RM32 bilion untuk 2019.

”Keuntungan selepas cukai sebanyak RM32 bilion untuk 2019 mencukupi bagi bank untuk menanggung kos RM6.4 bilion dan menyampaikan tanggungjawab sosial korporat bagi tempoh enam bulan lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, jika bank-bank tidak mahu menanggung kos sebanyak RM6.4 bilion itu, maka Kerajaan Persekutuan patut membiayai jumlah itu untuk membantu 7.7 juta individu peminjam dan 245,000 PKS.

Ini kerana, kos RM6.4 bilion adalah kecil berbanding dengan puluhan bilion ringgit dalam pinjaman tambahan melebihi peruntukan pinjaman Belanjawan 2020 untuk membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat.

Katanya, kegagalan kerajaan akan hanya menimbulkan kecurigaan bahawa pakej rangsangan bernilai RM295 bilion hanya didengar dan memberi memberi manfaat kepada kumpulan tertentu tetapi bukan rakyat Malaysia dan PKS.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, institusi perbankan mengalami kerugian sebanyak RM6.4 bilion ekoran pelaksanaan program moratorium.

“Institusi perbankan ini dianggarkan mengalami kerugian pengubahsuaian hari pertama Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan moratorium,” katanya menjawab soalan tambahan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kalau ph jd kerajaan semua ckap xda duit..nk bantu rakyat pon susah..skrg dh xjd kerajaan suruh kerajaan wat mcm2 pndai plak …ckap krajaan da duit plak…ermmm…wayang ph ni dribdlu..

Comments are closed.