Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini menolak dakwaan bahawa kerajaan telah menggantung pengeluaran lesen baharu penjualan arak di Wilayah Persekutuan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tuduhan terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu tidak tepat kerana hanya melibatkan pembekuan pengeluaran lesen penjualan.

“Sebenarnya tidak ada penggantungan lesen penjualan arak, yang ada cuma pembekuan pengeluaran lesen-lesen penjualan arak yang baharu bagi kawasan DBKL.

“Mutakhir ini timbul keresahan di kalangan orang ramai berpunca daripada beberapa peristiwa akibat pemandu yang dikatakan mabuk dan telah mengancam nyawa dan ada juga sehingga menyebabkan kematian.

“Kita menerima banyak pandangan daripada orang ramai, NGO bahawa peristiwa itu dengan beberapa perkara termasuk soal perlesenan, kaedah lesen dan waktu arak itu dijual dan kepada siapa,” katanya ketika menjawab soalan pertama menteri dari Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Annuar menjawab pertanyaan itu ketika Hon Wai mahu mengetahui apakah rasionalnya DBKL menggantung pengeluaran lesen arak.

Dalam pada itu, Annuar berkata, tindakan tersebut adalah wajar bagi meneliti apakah kaedah penambahbaikan demi kepentingan awam.

“Lesen baru tidak dikeluarkan sehingga satu garis panduan yang lebih kemas dan teratur dapat kita adakan.

“Untuk makluman, Lembaga Perlesenan yang berkenaan telah dilantik dan dijangka akan bersidang bulan hadapan.

“Bila mereka bersidang sudah ada garis panduan baru yang lebih kemas dan teratur bagi mengelakkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan peristiwa malang itu,” katanya lagi.

Awal Jun lalu, DBKL membekukan semua permohonan baharu lesen minuman keras di ibu negara berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan dikeluarkan, DBKL menerusi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja memaklumkan, akan mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang ingkar. – MalaysiaGazette