Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong. di Singapura pada Majlis Memeterai Perjanjian berkaitan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Malaysia dan Singapura di Tambak Johor hari ini.- Gambar FB Munhyiddin.

KUALA LUMPUR – Persetujuan penyambungan semula pelaksanaan Projek Projek Sistem Transit Rapid (RTS) bukti hubungan dua hala yang sangat erat antara Malaysia dan Singapura.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga usaha berterusan untuk memperkukuhkan kerjasama kedua-dua negara.

“Pagi ini saya telah hadir menyaksikan simbolik Majlis Memeterai Perjanjian berkaitan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Malaysia dan Singapura di Tambak Johor.

“Turut sama menyaksikan simbolik ini ialah rakan sejawat saya, Lee Hsien Loong.

“Alhamdulillah setelah tiga kali tertangguh, Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju meneruskan projek RTS. Ia telah ditangguhkan sejak 1 April 2019 atas permintaan Malaysia untuk mengkaji semula pelaksanaan projek tersebut.

“Kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan dan akhirnya bersetuju dengan beberapa perubahan termasuk pembinaan depot baharu di Wadi Hana, Johor Bahru dan sasaran tarikh permulaan perkhidmatan penumpang yang akan ditunda dari akhir 2024 hingga akhir 2026,” katanya dalam satgu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Muhyiddin juga bersyukur dan berbangga atas hasil usaha dan kerjasama rapat selama beberapa bulan oleh kedua-dua pihak, persetujuan dicapai dan majlis hari ini dapat direalisasikan walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette