Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan Perikitan Nasional tidak campur tangan dalam proses penghakiman kes SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghakiman kes tersebut telah dibuat dan melalui proses perundangan dalam sistem kehakiman negara.

“UMNO/BN menanggapi penghakiman kes SRC International Dato’ Sri Najib Razak sebagai suatu yang perlu diberi ketelitian dan perhatian serius,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Menurut Ahmad Zahid, apa yang dilalui dalam kes ini belum berakhir kerana ruang mendapatkan keadilan dalam proses perundangan masih terbuka. dan tiada siapa yang patut dihalang dari memperolehi keadilan.

“Kita telah banyak menyaksikan dalam catatan perundangan dan politik di dalam atau luar negara mengenai kes-kes yang melibatkan orang politik di mahkamah. Ia bukanlah sesuatu yang di luar sensasi politik,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, UMNO dan Barisan Nasional akan menangani keputusan penghakiman ini dengan cara yang terbaik di samping mempertahankan kesetiakawan bersama sekutu-sekutu dalam BN, Muafakat Nasional dan PN.

“Kejujuran, keikhlasan dalam perkongsian kuasa serta persahabatan tetap menjadi prinsip utama dan akan dipertahankan.

“Kita akan terus memberi penerangan kepada ahli-ahli mengenai kedudukan perkara sebenar berhubung kes ini.

“Sudah tentu kita menghormati keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim, namun penelitian perlu dibuat terhadap kemungkinan wujudnya kekhilafan dari sudut perundangan dan fakta,” katanya.

Menurut beliau, proses pengadilan di Mahkamah Tinggi walaupun sudah selesai tetapi Najib ada hak untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan dan hukuman.

“Ianya adalah hak setiap rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara.

“UMNO/BN akan memastikan proses mendapat keadilan di semua peringkat itu berjalan lancar dan benar-benar bebas serta adil tanpa wujudnya unsur-unsur campur tangan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Semalam Najib yang juga bekas Presiden UMNO didapati bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik syarikat SRC.

Beliau dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast