KUALA LUMPUR – 19 buah tapak binaan yang telah diarahkan tutup sebelum ini berikutan usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19 kini telah diberi kebenaran untuk beroperasi seperti sedia kala.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mendedahkan, kebenaran beroperasi diberikan selepas kesemua tapak binaan ini di dapati telah mematuhi SOP dan garis panduan di tetapkan kerajaan.

Jelas Ismail Sabri, sebelum ini semua 19 tapak binaan ini telah diarahkan tutup oleh penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Kini mereka boleh beroperasi selepas mematuhi semua SOP dan panduan yang telah di tetapkan oleh kerajaan.

“Semalam, CIDB telah membuat pemeriksaan di 15 tapak binaan di Kedah, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang melibatkan 23 penguatkuasa.

“Daripada jumlah itu, CIDB mendapati 12 tapak binaan telah patuh SOP manakala satu tidak mengikut garis panduan dan dua lagi tapak tidak lagi beroperasi,” katanya dalam kenyataan media harian sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memberitahu ‘Task Force Operasi Pematuhan’ yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 60,038 pemantauan bagi memastikan SOP di patuhi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kata beliau, sebanya 2,665 pasukan pematuhan telah memantau 4,066 pasar raya, 5,778 restoran, 1,230 penjaja, 1,319 kilang, 3,755 bank dan 819 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau ialah terminal pengangkutan darat, 146 terminal pengangkutan air serta 54 terminal pengangkutan udara.

“Selain itu, PDRM juga telah tahan 186 individu ingkar arahan PKP, 42 telah direman manakala tiga individu dijamin. 142 individu pula telah dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuklah aktiviti pusat urut tanpa lesen., aktiviti tidak ikut SOP, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai sehingga sukarnya penjarakkan sosial serta langgar perintah pengawasan,” tegasnya. –MalaysiaGazette